Anak Kucing Dimakan Oleh Ibunya. Punca Dan Teori Mengikut Logik Akal.


Terdapat ramai di antara kita yang sangat sayangkan kucing kerana sifatnya yang manja dan lucu itu sangat mencuit hati. Tapi anda pasti pernah mendengar satu fenomena pelik dimana seekor ibu kucing membunuh anaknya sendiri. Kalau difikirkan secara logik, bagaimanakah tergamaknya seekor ibu kucing sanggup membunuh anak yang dilahirkan?

Jika anda pernah bertanyakan soalan ini kepada mereka yang pernah melalui situasi ini sebagai pemilik kucing, pasti ada berbagai jawapan pelik yang diberikan.

Ini merupakan beberapa jawapan kebiasaan yang diberikan mengikut andaian dan logik akal mereka.


Anak kucing telah mati sejak dilahirkan
Seekor ibu kucing biasanya akan memilih tempat yang tersembunyi dan tersorok yang jauh dari orang ramai untuk melahirkan anaknya. Kebiasaannya tempat tersembunyi seperti dalam kotak, almari atau bawah katil menjadi tempat pilihan mereka kerana tidak mahu proses kelahiran dan anaknya diganggu.

Disebabkan pemilik kucing sendiri kebanyakannya tidak melihat proses kelahiran tersebut, kemungkinan sebenarnya anak kucing yang dilahirkan memang sudah tidak bernyawa lagi sebaik sahaja keluar. Bukan mati kerana dibunuh oleh ibu kucing itu sendiri.

Jika salah seekor anak kucing mati si ibu kucing sememangnya akan memakan anaknya demi mengelak dari dikesan oleh kucing lain demi keselamatan anak-anak kucing yang masih hidup.


Bau tangan manusia
Ini merupakan larangan yang biasa kita dengar daripada pemilik kucing agar tidak memegang anak kucing kerana risau bau tangan manusia akan melekat pada anak kucing tersebut. Sekiranya bau tangan manusia melekat pada anak kucing, si ibu kucing mungkin tidak lagi mengenali anaknya lalu bertindak membunuhnya kerana menganggapnya sebagai makanan atau ancaman kepada anak-anaknya yang lain.

Teori ini mungkin benar memandangkan kucing sangat sensitif terhadap bau, termasuklah bau anak-anaknya untuk mengenali mereka. Sekiranya anda sebagai pemilik terpaksa memegang anak kucing disebabkan perkara-perkara tertentu, disarankan anda menggunakan kain, sarung tangan atau pelapik bagi mengelak bau tangan anda melekat pada tubuh anak kucing.


Anak kucing cacat atau berpenyakit.
Seperti manusia, ibu kucing juga mempunyai naluri keibuan terhadap anaknya. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ibu kucing sebenarnya mempunyai naluri bahawa anaknya sakit atau mempunyai kecacatan yang menyebabkan ia tidak mampu untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, si ibu kucing memilih untuk membunuh anaknya itu kerana tidak mahu anaknya terseksa dan mengaggap anaknya tidak mampu untuk hidup lama. Dengan membunuh anaknya itu, ia dapat menyelamatkan anaknya yang lain untuk tidak dijangkiti penyakit yang sama.


Dibunuh bapa kucing
Terdapat juga kemungkinan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh bapa kucing itu sendiri atau kucing jantan yang lain. Hal ini kerana kucing jantan dewasa beranggapan bahawa mereka rasa terancam dan tergugat dengan kehadiran bayi kucing tersebut. Kucing jantan juga mungkin membunuh anak kucing bagi tujuan mengurangkan persaingan untuk merebut kawasan dan pasangan untuk mengawan.


Tak mampu untuk menjaga
Teori ini mungkin logik bagi kucing-kucing jalanan yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kesukaran mendapatkan makanan menyebabkan ada ibu kucing yang sanggup membunuh anaknya sendiri dan menjadikannya makanan bagi membolehkan si ibu kucing itu terus hidup.

Di luar negara terutamanya di tempat yang bermusim sejuk dimana kucing jalanan sukar mendapatkan makanan, mereka mungkin membunuh dan memakan anaknya sendiri kerana beranggapan anaknya itu tidak mampu hidup di kawasan yang terlampau sejuk dan ibu kucing itu sendiri terdesak untuk mendapatkan makanan untuk terus hidup.

Walau apa pun sebabnya seekor ibu kucing membunuh anak mereka, itulah lumrah kehidupan seekor kucing. Teori ini mungkin juga melibatkan haiwan lain selain kucing.

Sekiranya anda membela kucing, pastikan kucing peliharaan anda mendapat perhatian secukupnya. Sekiranya mereka bunting dan bakal melahirkan anak. Sekiranya anda tidak mampu memelihara kucing dalam jumlah yang banyak, pastikan anak-anak kucing tersebut diberikan kepada orang lain yang mampu menjaganya dan bukan dengan sewenang-wenangnya membuang di pasar, tempat pelupusan sampah atau sebagainya.


Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab. Sekiranya tidak mahu kucing anda terus beranak-pinak, dinasihatkan untuk mendapatkan pembedahan Spay atau Neuter bagi tujual memandulkan kucing agar tidak banyak lagi kucing-kucing liar yang terpaksa menjadi kucing jalanan akibat sifat tidak berperikemanusiaan pemiliknya.