Fenomena Dihempap Ketika Tidur. Langkah Yang Boleh Diambil Untuk Mencegah


Anda pasti pernah mendengar atau mengalami kejadian pelik seperti dihempap ketika sedang tidur. Fenomena ini sering menjadi tanda tanya kepada masyarakat. Adakah ia benar?

Dihempap ketika tidur
Bagi anda yang pernah mengalami, dihempap ketika tidur merupakan satu fenomena dimana badan kita terasa seperti ditindih atau lumpuh sehingga kita sukar untuk bernafas dan bergerak. Ia dipercayai berkaitan dengan perkara mistik.

Pasti ada segelintir daripada anda yang kurang percaya dengan fenomena ini, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja akan faham.

Persoalannya adakah benar jika kita dihempap sewaktu tidur merupakan sejenis gangguan makhluk halus? atau pun ia sekadar mainan tidur dan masalah berkaitan fisiologi dan psikologi sahaja? Kalau benar ia gangguan makhluk halus, bagaimana kita hendak tanganinya?.

Sejak sekian lama masyarakat Asia telah dimomokkan dengan mitos dan tahyul mengenai subjek ini. Tiada kaedah dan penjelasan yang jelas. Perawat-perawat tradisional juga sukar untuk menjawab persoalan ini.


Di dalam istilah sains, dihempap atau dihimpit ketika tidur ini digelar sebagai 'sleep paralysis'. Sleep paralysis ini terjadi akibat tidur kita terlalu lena di mana semua organ badan kita berehat kecuali otak, jantung dan paru-paru sahaja.

Ketika kita sedang lena tidur, tiba-tiba otak kita teraktif sedikit maka, secara automatiknya kita akan separa sedar ketika masuk didalam fasa tidur dimana keadaan anggota badan kita ketika itu masih lagi didalam keadaan rehat. Oleh akibat dari itu, kita akan merasakan tubuh badan kita seolah-olah lumpuh dan langsung tidak mampu bergerak serta nafas kita sedikit tersekat, situasi itu pasti buat kita lemas dan panik.

Tetapi sehingga ke hari ini, saintis masih belum menemui kajian tentang sebab dan bagaimana mimpi ngeri itu boleh wujud ketika seorang individu dihempap.

Pada saat itu kita sebenarnya masih belum tersedar sepenuhnya, tetapi hanya separa sedar sahaja. Kerana itu kita berasa mengantuk dan juga tidak mampu untuk bergerak.


Apabila kita cuba untuk meronta-ronta, badan terasa seolah-olah bergerak sedikit, walhal badan kita sedikit pun tidak bergerak. Tetapi ia tidak berlaku dalam keadaan kita tidur duduk.

Kaedah rawatan Islam
Untuk pengatahuan anda, syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنْ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ

Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya, hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan dari Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan.


Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar berlindung kepada Allah apabila didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan, dengan menyebut a’uzubillah, ayat Tiga Qul dan sebagainya, kemudian meludah ke bahagian kiri dengan tiga kali ludah, yang ringan. Sekadar memadai dengan isyarat hembusan semata-mata, dengan tanpa mengeluarkan sedikit pun air liur dari mulut anda, kemudian cuba beralih tempat tidur iaitu dengan mengubah posisi tidur.

Daripada mengiring kiri, ubah mengiring kanan atau pindah ke tempat lain. Rasulullah juga mengajar kita agar mengibaskan tempat tidur sebanyak tiga kali dengan kain sebelum baring.

Rasulullah pada setiap malam ketika berada di tempat pembaringan, merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya kemudian meniup kedua-duanya dan membaca surah Tiga Qul, kemudian menyapu badannya dengan kedua-dua tapak tangan, yang dimulakan daripada kepala, muka dan seluruh tubuh yang tercapai oleh kedua-dua tapak tangannya sebanyak tiga kali.

Yang dimaksudkan dengan Tiga Qul di sini ialah surah an-Nas, al-Falaq dan surah al-Ikhlas. Serahlah diri kepada Allah. Banyak doa yang boleh dibaca yang berkaitan dengannya di antaranya ialah doa yang bermaksud, Ya Allah, dengan menyebut nama-Mu, ya Tuhanku kuletakkan lambungku, maka ampunilah dosaku. Setelah itu barulah membaca ayat al-Kursi dengan lidah.

Baca ayat al-Kursi dalam hati apabila lidah mula tidak berupaya menyebutnya sehingga tertidur. Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan, Allah akan mengutus dua malaikat menjaganya sehingga subuh.


Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai.

Akhir sekali jangan lupa membaca Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar). Banyak kaedah yang merangkumi zikir-zikir dan kaifiat tertentu yang diajar oleh Rasulullah dalam usaha mengatasi masalah tidur. Kaedah ini berbeza-beza, menurut tahap-tahap serius gangguan yang dialami.

Apa yang penting, anda jangan panik dan ambil masa untuk bertenang sekiranya perkara ini terjadi.