Jangan Biar Lelaki Merajuk Lama-Lama. Tips Untuk Memujuk.


Dalam hubungan bercinta pasti ada pasang surutnya. Situasi dimana wanita merajuk apabila berlaku perselisihan faham sudah menjadi kebiasaan. Tapi bagaimana pula kalau si lelaki yang merajuk?

Walaupun lelaki ni bersifat keras hati dan gagah dari luaran, tapi anda jangan sangka mereka tiada perasaan. Kadang-kadang sifat merajuk mereka mengalahkan wanita.

Bagaimana untuk mengetahui jika lelaki merajuk?


1. Mendiamkan diri
Kebiasaannya apabila seorang lelaki itu merajuk, mereka memilih untuk mendiamkan diri atau malas untuk bercakap dengan anda. Walaupun anda cuba hubunginya berkali-kali, namun tidak diendahkan mereka, berkemungkinan mereka silentkan bunyi telefon untuk panggilan daripada anda.

Ataupun hanya biarkan bluetick pada mesej whatsapp anda. Mereka membaca tanpa membalas sepatah ayat pun. Bila di ajak berbual, mereka sekadar menjawab dengan isyarat angguk atau geleng kepala dengan memek muka yang menunjukkan si dia tidak minat untuk berbual.

2. Ayat deep
Bukan ayat cinta tapi ayat yang memberi maksud mendalam dan kadang-kadang seperti memperli.

Contohnya, "Takpela awak, siapalah saya jika nak dibandingkan dengan lelaki tu, kan?, dia lebih bergaya dan kacak, banyak duit pula tu".

Atau "Takpelah, saya tak layan pun awak tak kisah pun kan?, lebih baik saya diam je"

Ayat-ayat tersebut menunjukkan tanda bahawa si lelaki dah merajuk atau terasa hati pada anda.

Apakah cara untuk memujuk lelaki yang sedang merajuk?


1. Berikan masa dan ruang
Apabila si lelaki masih dalam keadaan marah dan ego, jangan paksa atau beri tekanan kepada mereka. Sebaliknya, berikan mereka masa dan ruang untuk tenangkan fikiran.

2. Mengalah dan minta maaf
Ini seharusnya dilakukan pada awal kejadian tapi disebabkan ego, sudah tentu ucapan maaf tu agak lambat diucapkan. Mungkin anda boleh cuba dengan sekadar taip di dalam mesej atau whatsapp sahaja atau anda boleh cuba untuk hubunginya dan berbual macam biasa dan mengambil hatinya dengan mesej yang romantis.

Kalau cara ini masih tidak berjaya, anda cubalah meminta maaf sambil mengeluarkan air mata dan hingus. Pasti dicop dramatik bukan. Walaupun ianya agak kelakar, tapi inilah yang dapat melembutkan hati si lelaki. Mereka pasti berlembut hati melihat air mata insan tersayang bernama wanita.


3. Masak makanan kegemarannya
Ya, benar kata orang, untuk pikat hati seorang lelaki atau suami, jagalah perutnya. Maksudnya jaga makan minumnya dengan manu kegemarannya. Bila perut sudah kenyang dengan makanan dari insan tersayang, pastinya hati terasa senang.

Tambahan pula makanan tersebut dimasak dengan penuh kasih sayang. Usaha anda ini akan membuatkan rasa marah dan ego si dia berkurangan apabila melihat kesungguhan anda tersebut. Pasti hatinya di jentik terharu.

4. Surprise
Membuat kejutan memerlukan perancangan awal dengan teliti. Anda boleh merancang untuk beri kejutan seperti belikan kek, atau makanan kesukaannya beserta hadiah yang bermakna. Namun begitu, haruslah mengikut keperluan bajet anda. Biar tidak terlalu mahal, yang penting nilai pemberian tersebut.


5. Ciuman dan pelukan
Cara ini sememangnya paling manis dalam perhubungan. Kerana dua perkara ini dapat membuatkan si dia tersenyum kembali. Siapa saja yang menolak jika dicium atau dipeluk kekasih hati?

Namun begitu, hal ini khas kepada pasangan yang sudah bernikah sahaja. Yang belum halal tu jangan nakal-nakal ya. Tapi anda boleh cuba dengan berikan ciuman di dalam mesej saja. Emoji kiss kan ada, kira okay lah tu kan.

6. Berbincang
Hal ini penting kerana melibatkan soal hati. Sewaktu perbincangan, harus ada kejujuran. Elakkan perbalahan, cuba muhasabah diri dan saling berterus terang tentang masalah masing-masing dan mengakui kesilapan diri. Sentiasa beringat untuk menasihati dengan berhemah.


7. Merajuk bersama
Kalau dah semua cara di atas tidak berjaya, cubalah merajuk sama. Jangan hantar mesej atau panggilan. Pilih cara untuk berdiam diri sehingga si lelaki yang mulakan. Namun, dalam hubungan suami isteri, merajuk tak digalakkan lama-lama, seeloknya sebelum tidur sudah meminta maaf dan di maafkan manakala yang masih bujang, boleh merajuk tetapi jika terlalu lama, takut-takut si dia berasa bosan dan tawar hati.

Jadi sebagai wanita, tolong ambil perhatian tentang perkara tersebut. Tak boleh dibuat main kerana jika melarat, anda yang terlepas si dia, dan tak dapat berpanjangan hubungan yang terjalin sama ada baru atau sudah lama.

Carilah cara untuk atasi masalah jika dah nampak tanda merajuk agar si dia tetap sayang anda walaupun jauh mana anda berada.

Ingat ya, hargailah si dia, jangan sampai anda terlepas peluang. Nanti anda juga yang menangis tak sudah.