Kenapa Bayi Menangis?. Kenali Bahasa Isyarat Bayi


Perkembangan bayi seringkali membuatkan ramai menjadi teruja, melihat mereka sudah mula merangkak, belajar berjalan, dan pandai bercakap pasti membuat semua terhibur. Tapi bagaimana untuk kita memahami bahasa isyarat bayi ketika mereka masih lagi kecil dan tidak boleh bertutur? Adakah setiap tindakannya bermaksudkan sesuatu?.


Kebiasaannya bayi akan menangis untuk memberi isyarat kepada ibu bapanya bahawa dia rasa tidak selesa, lapar atau mengantuk. Selain daripada tanda-tanda menangis, apa lagi bahasa bayi yang anda faham? Ketahuilah bahawa setiap bayi adalah berbeza cara bahasa dan gaya mereka. Namun, panduan umum di bawah mungkin dapat membantu para ibu bapa untuk lebih memahami bayi di samping menangani ragam si manja.


Bayi merenung mata anda
perasan tak, bayi amat suka merenung mata pada orang terdekat yang cuba berinteraksi dengannya. Apabila si manja merenung tepat ke mata anda sambil tersenyum itu bermakna dia sedang cuba mengecam wajah anda. Jika anda melihatnya tersenyum, ini bermakna bayi gembira melihat muka anda. Jadi, ambil peluang ini untuk mendukung atau bergurau dan melayaninya.

Mata meliar
Bukan hanya fokus pada satu tempat sahaja, si manja juga gemar meliarkan pandangan matanya ke arah sekeliling. Berbuatan ini bermaksud si manja sedang meneroka ruang persekitaran. Apatah lagi jika anda membawanya ke suatu tempat yang baru, pasti matanya akan meliar melihat suasana sekeliling.


Genggam tangan
Pasti anda sudah terbiasa melihat bayi menggenggam tangan atau menggoyang-goyangkan tangannya bukan?. Reaksi ini menunjukkan tidak balas si manja apabila dia sedang gembira dan teruja.

Bunyi bbbbb
Jika bayi mengeluarkan bunyi 'bbbbb' dengan keadaan air liurnya bertakung pada mulut, ini bermakna bayi anda ingin berborak dengan anda. Jika anda layan, dia akan semakin rancak berbunyi seolah-olah faham dengan apa yang anda perkatakan.


Menggosok telinga
Jika anda lihat bayi kerap meraba-raba atau menggosok telinganya, ini bukan bermakna ada masalah pada telinganya. Tetapi, ini merupakan proses untuk si manja mengenali tubuh badannya sendiri

Menendang
Jika bayi menendang-nendang kakinya, ini bermakna dia kurang selesa dengan lampinnya. Jadi, ibu bapa periksalah lampin bayi anda. Antara sebab lain adalah kerana bayi sedang teruja.

Jika anda ada informasi atau cadangan untuk dikongsikan, boleh reply di ruang komen di bawah.