Masalah Gementar Ketika Memberi Ucapan Di Khalayak Ramai. Cara Untuk Mengatasinya.


Semua orang berbeza, ada yang ramah, ada yang mudah bergaul, petah berkata, juga ada yang malu, dan hanya bercakap sepatah sahaja apabila ditanya. Disebabkan perbezaan ini jugalah, membuatkan ramai di antara kita yang sering meminta mereka yang ramah, dan banyak cakap untuk ke depan bila mana ada ucapan yang perlu disampaikan.

Buat mereka yang pemalu, senyap, dan cepat gemuruh sudah pasti hanya diamkan diri di satu sudut, risau namanya dipanggil untuk berucap di hadapan, lagi-lagi dengan orang yang tidak dikenali.

Jika anda mengalami perasaan gemuruh, pasti anda akan berhadapan dengan situasi seperti denyutan jantung meningkat, tangan menggigil dan telapak tangan berasa sejuk atau berpeluh, ini menyebabkan seseorang individu itu sukar untuk bernafas dan kelu lidah untuk mengungkapkan sesuatu. Kadang sehingga buat dia terlupa teks yang ingin disampaikan.


Adakah ia normal?
Sebenarnya ramai yang mempunyai masalah sebegitu, yang mana rasa sangat gemuruh bila berhadapan dengan ramai orang, bukan tiada apa nak dicakapkan, cuma terlalu gemuruh untuk berdiri di hadapan audien yang ramai dan berucap.

Hal ini berpunca apabila seseorang itu hilang keyakinan diri untuk berhadapan dengan audien kerana menganggap dirinya kurang berpengetahuan atau terlalu memikir tanggapan negatif audien terhadapnya.

Tapi, kalau ada cara yang boleh hilangkan rasa gemuruh ini, ia sudah pasti akan beri banyak kelegaan.

Relaks. Ini adalah perasaan normal.

Amalkan beberapa tips di bawah ini bagi mengawal perasaan gemuruh anda.


1. Persediaan dan Latihan
Perasaan gemuruh biasanya mudah datang ketika kita perlu lakukan sesuatu yang tidak pernah atau jarang kita lakukan. Ini adalah kerana kita tidak tahu bagaimana perkara tersebut akan berlaku dan bagaimana orang akan fikir tentang diri kita. Bagi meningkatkan keyakinan diri, kita perlu lakukan latihan untuk perkara yang kita akan lakukan. Sebagai contoh, sekiranya anda diminta untuk membuat ucapan awam, anda perlu lakukan latihan sendirian terlebih dahulu dan menyediakan teks sebagai panduan anda semasa membuat ucapan.


2. Tiba lebih awal
Jika anda gemuruh kerana menghadiri temuduga atau keadaan yang sama dengannya, pastikan anda datang awal ke tempat temuduga sekurang-kurangnya 30 minit sebelum masa bermula. Ini adalah kerana jika anda terlewat atau kelam kabut, anda akan bertambah gemuruh dan persediaan anda juga akan terganggu.

3. Berfikiran positif
Perasaan gemuruh mudah berlaku pada orang yang selalu berfikiran negatif dan terlalu memikirkan tanggapan orang. Bagi mengawal perasaan ini, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bermonolog dan memberi semangat kepada diri sendiri. Kerap nyatakan bahawa ‘saya yakin boleh lakukannya’ kepada diri sendiri. Anda lebih mengetahui apa yang ingin disampaikan berbanding audien di hadapan.


4. Pegang Sesuatu
Memegang sesuatu dapat membantu diri kita dari terlalu gemuruh dan mengawal diri dari mengigil keterlaluan. Sebagai contoh, jika anda dikehendaki untuk memberikan ucapan awam, anda boleh pegang pen atau segulung kertas untuk membantu anda mengawal diri dari gemuruh dan menggigil. Dalam masa yang sama ia juga dapat meningkatkan keyakinan diri.

5. Kawal Pernafasan
Apabila badan dikawal oleh perasaan gemuruh, penafasan kita menjadi sukar dan tidak tetap. Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan menyedut nafas dalam dan hembus secara perlahan-lahan. Lakukan beberapa kali sehingga anda dapat rasakan ketenangan semasa anda bernafas.


6. Bergerak
Jika anda gemuruh, gerakkan tubuh badan anda dengan berjalan atau melakukan senaman ringan. Ini akan dapat membantu badan anda daripada terlalu stress dan membantu anda untuk tidak kekok dan kurang menggigil.

7. Berlakon
Jika anda berasa gemuruh, jangan terlalu terikut-ikut dengan perasaan gemuruh itu. Cuba untuk berlagak tenang kerana ia juga boleh memberikan kesan ketenangan kepada anda. Selain itu juga, ia akan memberikan keyakinan diri sendiri.


8. Lawak jenaka
Jika ucapan dilakukan untuk sebuah majlis, anda boleh mulakan ucapan dengan senyuman dan lawak jenaka yang simple supaya suasana majlis tidak terlalu serius dan sunyi. Ini boleh membantu anda untuk mendapatkan keyakinan diri dan dalam masa yang sama dapat menarik minat audien untuk mendengar ucapan anda.

9. Ajukan soalan
Anda boleh bertanyakan beberapa soalan atau pendapat kepada beberapa individu bagi mengalihkan perhatian audien kepada individu tersebut buat seketika. Ini membantu anda untuk kembalikan diri anda ke posisi tenang.


10. Atur masa
Elakkan ucapan yang terlalu laju sehingga sukar untuk audien anda tangkap setiap mesej yang ingin disampaikan, ucap dengan nada dan tempo yang relaks. Pastikan anda tetapkan masa ucapan supaya tidak terlalu panjang lebar dan menyeleweng ke luar topik. Sediakan ucapan penutup yang ringkas dan padat agar ucapan anda tidak nampak tergantung.

Moga-moga dengan adanya tips ini anda dapat mengawal rasa gugup, dan gementar yang dihadapi, serta menjadi seorang yang petah berbicara di hadapan audien yang ramai. Mari kita ubah diri, menjadi insan yang lebih berkeyakinan.