Simptom Hidung Berdarah Di Kalangan Kanak-Kanak. Perkongsian Dari Dr Nik Hisyam.


Pernahkah anak-anak anda mengalami situasi dimana hidung tiba-tiba berdarah?

Mak dan ayah selalu panik dan risau bila tiba-tiba hidung anak berdarah. Kadang-kadang ada yang jadi ketika sedang tidur, semasa terjaga dari tidur kelihatan dipenuhi darah atas cadar dan katil anak-anak anda, ada yang jadi masa sedang menonton TV, masa tengah main di taman permainan dan pelbagai lagi situasi yang boleh jadi pada bila-bila masa sahaja.

Simptom hidung berdarah ini kerap berlaku pada golongan kanak-kanak. Apabila ia berlaku, pasti membuatkan kita panik dan cemas. Ada diantara kita yang mengalaminya cuba untuk menghentikan pendarahan dengan cara menggosok dan menonyoh hidung.

okay, jom kita dengarkan sedikit perkongsian dari Dr Nik Hisyam berkenaan masalah hidung berdarah di kalangan kanak-kanak.


1) Punca dan penyebab?
Kebiasaannya alahan ini berpunca dari debu hama, seafood dan lain-lain, suhu yang sejuk dan kering akibat penggunaan penghawa dingin dan cuaca yang terlalu panas di luar rumah juga menjadi faktor masalah ini berlaku. Antara sebab lain adalah kerana jangkitan kuman seperti selsema dan juga kesan persekitaran yang berdebu.

2) Kenapa ia boleh berlaku?
Ianya adalah kerana lapisan hidung kanak-kanak adalah sangat nipis jika dibandingkan dengan lapisan hidung orang dewasa. Apabila mereka mengalami alahan allergi contohnya, ia akan menyebabkan radang pada lapisan hidung dan salur darah utama di bahagian depan hidung yang dikenali sebagai Little's Area yang akan mengembang, sensitif dan senang tercedera. Tindakan mereka yang cuba untuk menggosok atau menonyoh hidung kerana hidung tersumbat atau gatal, akan menyebabkan salur darah ini pecah dan darah akan mengalir keluar dengan agak banyak.

3) Jadi bagaimana nak buat?
Jika hidung anak anda berdarah, lakukanlah Trotter's Method iaitu:
Pastikan mereka berada dalam posisi duduk, dan tundukkan kepala mereka ke bawah. Kemudian picit bahagian depan hidung selama 10-15 minit tanpa lepas dan minta anak anda bernafas menggunakan mulut. Selepas itu, ambil ais ketul, minta anak anda hisap di dalam mulut sehingga cair secara berterusan dan ambil lagi ais ketul, balutkan dengan kain nipis, dan letakkan di atas hidung anak anda. Ini membantu supaya perdarahan dapat dihentikan.


4) Bila nak bawak ke hospital?
Segera bawa ke hospital jika darah yang keluar tidak berhenti-henti setelah prosedur Trotters di lakukan, atau jika anak anda kelihatan sangat tidak bermaya dan lembik akibat terlalu banyak darah yang hilang dan apabila hidung berdarah disebabkan oleh bendasing di dalam hidung (perlu dikeluarkan oleh doktor). Anda juga harus bawa mereka segera ke hospital jika mereka ada mengambil ubat untuk mencairkan darah seperti warfarin atau aspirin yang menyebabkan pendarahan tidak berhenti, atau jika anak anda ada masalah pembekuan darah

5) Jadi apakah langkah untuk mengelakkan hal ini berlaku?
Dapatkan rawatan masalah alahan dan allergi anak anda (boleh berjumpa doktor pakar ENT untuk khidmat nasihat dan rawatan), jangan atau kurangkan tidur dalam suhu berhawa dingin yang terlalu sejuk dan kering. Anda juga boleh beli home air purifier dan air humidifier untuk melembapkan bilik mereka. Antara langkah lain adalah dengan elakkan bermain dalam cuaca yang terlalu panas. Potong kuku jari anak anda, jangan biar terlalu panjang, sebab mereka ada kecenderungan untuk mengorek hidung dan kuku boleh menyebabkan bahagian dalam hidung luka. Anda juga boleh sapukan pelembap seperti vaseline gel di bahagian hadapan hidung anak-anak anda sebelum dan selepas tidur.

Untuk dapatkan kepastian yang lebih lanjut dan penerangan serta pemeriksaan yang menyeluruh termasuk pemeriksaan endoskopi kamera, tuan/puan boleh berjumpa dengan Pakar ENT

Pakar ENT juga boleh merawat dengan cara ubatan ataupun "cauterisation", iaitu menggunakan ubat dan teknik terkini untuk hentikan pendarahan jika perlu.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.

Sumber : Dr Nik Hisyam