Masa Adalah Penentu Sebuah Kehidupan

masa adalah penentu sebuah kehidupan

Masa adalah sangat penting dalam kehidupan seharian kita, kerana masa yang telah lepas tidak akan berulang kembali. Gunakan sebaik-baiknya masa yang kita ada dengan sesuatu yang bermanfaat dan berfaedah, sebab setiap apa yang berlaku dalam hidup ini adalah amat penting.

Tiada siapa yang tahu bagaimana atau apakah yang bakal terjadi di kehidupan kita yang mendatang, Namun kita boleh jadikan ianya sesuatu yang indah dan bermakna.

Dari Masa Kita Belajar Mana Yang Lebih Utama Dan Mana Yang Kita Perlu Abaikan.


Dalam kehidupan ini kadangkala kita terleka dan lari dari fokus tentang apa yang harus dikejar dan dicapai. Ambil masa sejenak untuk kita berfikir dan perbetulkan haluan hidup.

Kita boleh sahaja mengubah kehidupan ini ke arah yang lebih baik dengan mengubah cara kita berfikir, menyesal dengan perkara silam tidak membuatkan kita mampu untuk putar kembali hidup ini kerana masa akan tetap bergerak ke hadapan.

Setiap Apa Yang Berlaku Akan Mematangkan Fikiran dan Membuatkan Kita Lebih Kenal Erti Kesabaran.


Tuhan telah menyusun yang terbaik setiap perjalanan kehidupan.

Kadangkala tanpa sedar kita sering kali menyalahkan keadaan apabila kita menghadapi masalah yang rumit, bahkan kita terlupa bahawa Allah telah menyusun cantik perjalanan hidup kita.

Kita hanya sekadar menumpang di dunia ini, segala yang wujud dan apa kita miliki semuanya adalah hak dan milik Tuhan, jadi untuk apa kita mengeluh jika takdir hidup tidak seperti apa yang kita inginkan.

Ingatkan bahawa setiap apa yang Tuhan berikan adalah yang terbaik dan tepat, kerana Tuhan sudah memberikan masa yang terbaik bagi setiap hambanya.

Masa Terus Berjalan, Berapa Nilai Dan Harga Masamu?


Orang yang tidak menghargai masa tidak akan sedar bahawa usia ini semakin meningkat dan bertambah, yang mereka tahu hanya berhibur dan leka dengan nikmat dunia semata-mata.

Mereka fikir setiap hari sama sahaja tiada apa yang membezakan, sehingga mereka sering abaikan tujuan utama kehidupan iaitu mencari redha Tuhan. Andai kita sedar betapa pentingnya nilai masa yang kita ada, kata-kata penyesalan pun tidak akan pernah terlontar dalam benak fikiran.

Dua Nikmat Yang Selalu Manusia Lupa, Nikmat Kesihatan Dan Nikmat Masa Lapang.

Manusia selalu lupa akan nikmat yang Tuhan berikan terhadap kita, kesihatan dan masa lapang yang kadang kala membuat kita kufur nikmat.

Lupa bahawa setiap kenikmatan tersebut mungkin akan hilang suatu masa nanti, kerana masa sentiasa berputar dan satu persatu nikmat yang diberi Tuhan akan ditarik balik sehingga penghujung hayat kita.

Kehidupan di dunia hanya sementara, oleh itu, janganlah sehingga kita terleka sampai terlena dengan hiburan dunia di waktu yang singkat ini.


Masa Yang Terbaik Tidak Akan Datang Jika Kita Hanya Menunggu

Jika kita hanya pilih untuk menunggu masa yang tepat datang, kita hanya akan membuang masa dan tujuan hidup kita akan tergantung. Oleh itu, hargailah masa sebaiknya.