Mustahil Untuk Inginkan Rumah Tangga Yang Tiada Masalah

mustahil hubungan tiada masalah, mustahil, masalah, hubungan, rumah tangga masalah

Dalam sebuah hubungan suami isteri, inginkan kehidupan yang sempurna tanpa harus melalui sebarang masalah dan pertengkaran ini adalah sangat mustahil. Hal ini kerana dua insan yang disatukan ini masing-masing mempunyai perbezaan cara hidup.

Ibarat kita ingin bangunkan sebuah rumah, rumah tidak didirikan hanya dengan satu bahan sahaja. Terdapat pelbagai jenis bahan yang diperlukan untuk dirikan rumah yang gah dan kukuh seperti batu, simen, besi dan sebagainya.

Begitu jugalah untuk membina hubungan yang kuat dalam perkahwinan ini, daripada dasar perbezaan ini kita perlu belajar untuk jadikannya satu ciri yang sempurna. Hormatilah ciri yang ada dalam pasangan masing-masing, bertolak ansur dan rajinkan diri untuk sentiasa bawa berbincang tentang hal yang tidak menyenangkan.

Belajar Cara Perbalahan Dalam Berumah Tangga


Satu perkara yang pasti kita tidak boleh elakkan dari terjadi dalam berumah tangga adalah pertengkaran. Cubalah sehabis baik untuk tidak terlalu emosi dalam perbalahan.

Kalau ada yang kata dia tidak pernah bertengkar dengan pasangan mereka sama ada dengan si suami atau dengan si isteri, hanya ada dua kemungkinan perkara seperti itu boleh terjadi. Sama ada dia belum berkahwin atau dia sebenarnya sedang menipu.

Walaupun dalam bertengkar, perasaannya seperti boleh merosakkan atau mengakhirkan hubungan yang dibina namun jika bijak mengawal keadaan sebenarnya ia mampu menjadi hikmah yang baik buat kita.

Tiga Perkara Yang Perlu Ada Dalam Rumah Tangga. Jujur, Terbuka dan Kepercayaan


Janganlah kita menganggap apabila masalah yang terjadi pada pasangan kita ianya merupakan satu beban masing-masing yang perlu diselesaikan.

Bersifatlah terbuka dalam berpasangan, berkongsilah rasa duka atau masalah yang dihadapi. Jangan biarkan masalah si dia hanya ditanggung oleh dia seorang sahaja. Berikan sokongan moral sokongan yang diperlukan si dia.

Si dia pula, perlu ada sifat percaya pada pasangan. Kerana tanpa ada sifat percaya, boleh jadi setiap apa yang berlaku hanya disimpan perasaan itu seorang diri. Apabila sudah pilih untuk hidup berpasangan, belajar dengan baik cara yang betul dalam kehidupan berpasangan.

Jujurkan diri dengan pasangan, berikan komitmen tanpa harapkan si dia tahu segalanya perihal diri kita. Sentiasalah saling bekerjasama dalam membina hubungan. Hubungan yang kekal sehingga akhir hayat tidak tercipta atas kurniaan Allah begitu sahaja. Kita juga yang perlu usaha untuk mendapatkan.

Hubungan Ibarat Tanaman, Perlukan Masa Untuk Tumbuh dan Bila Kita Berhenti Berkebun Maka Perlahan-lahan Akan Kering dan Mati


Hubungan antara suami isteri ini tidak seindah yang kita impikan seperti dalam drama atau movie yang kita tonton selalu. Ianya ibarat sebuah tanaman, yang perlukan masa untuk tumbuh dan membesar sehingga membuahkan hasil.

Jika tiada sifat sabar dalam diri sehingga membuatkan kita rasa jenuh untuk berkebun menyuburkan tanaman, lama-lama tanaman tersebut perlahan-lahan akan kering dan kemudian mati.

Bila kedua-duanya sudah tak percaya lagi antara satu sama lain, saling tidak menghargai, saling tidak bantu-membantu satu sama lain, maka yang ada nanti hanyalah sebuah pertengkaran, perselisihan yang hujungnya kelak adalah sebuah perpisahan.

Jangan Berumah Tangga Seperti Bunga Yang Gugur, Berumah Tanggalah Seperti Air Sungai Yang Terus Mengalir


Rasa jenuh dalam hubungan berumah tangga ini suatu perkara yang biasa apabila sudah lama kita mendirikannya. Ini tidak bermakna kita perlu laluinya seperti biasa dengan menganggap tiada apa yang perlu dirisaukan.

Jangan biar hubungan seperti bunga yang gugur. Hidup indah manis mengikut mood, mengikut musim-musim, mengikut hari-hari tertentu. Apabila tiada hari yang berikan aura yang baik, tiada manisan dalam hubugan.

Kelak apabila terlalu biasa dengan cara sebegini rasa sayang, rasa rindu, rasa inginkan dia juga akan berganti-ganti ada dan hilang, yang akhirnya berubah menjadi kosong.

Sebaliknya cubalah setiap hari untuk menghidupkan hari bersama pasangan dengan mood-mood yang bagus, aura yang manis dalam hidup berpasangan. Seperti air sungai yang terus mengalir.

Hubungan Boleh Kekal Jika Keduanya Saling Sedar Kekurangan dan Kelebihan Masing-masing


Hubungan yang baik adalah bila kita saling menyedari kekurangan dan kelebihan yang ada pada pasangan masing-masing.

Boleh jadi salah seorang dari kita mampu membuat akhlak semakin indah, jiwa semakin damai dan hati terasa tenang. Itu merupakan hikmah yang luar biasa untuk kita selalu syukur diberikan nikmat berpasangan.

Apabila ada kekurangan, jangan berdiam diri begitu sahaja. Cuba untuk tegur menegur dengan sopan supaya tidak terlalu tersinggung perasaan. Nasihatlah dengan cara yang baik supaya masing-masing dalam hubungan yang diredhai Allah.