Tak Perlu Tunggu Kaya Untuk Sedekah, Kaya Bukan Ukurannya

sedekah, kaya, miskin, bantu, quote, nakbebel, tak perlu tunggu kaya untuk sedekah, kaya bukan ukuran

Bila sebut tentang sedekah pastinya ramai yang akan fikirkan tentang pemberian atau bantuan kepada fakir miskin ataupun orang yang tidak berkemampuan.

Padahal untuk bersedekah belum tentu untuk orang-orang yang miskin sahaja, malah sedekah juga boleh diberikan kepada orang yang memerlukan bantuan.

Tambahan pula, adakah kita perlu kaya dahulu baru fikirkan tentang hal untuk sedekah atau membantu orang lain? Sudah tentu tidak. Sedekah ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja mahupun bila-bila masa tanpa perlu menunggu kaya.

Kalau sedekah ini perlu tunggu kaya dulu, maka ramai orang yang jarang sekali libatkan diri dalam membantu orang lain, umumnya manusia tidak pernah lekang dari sifat kurang puas dengan apa yang mereka ada.

Siapa Kita Perlu Bantu?


Bantulah mereka yang memerlukan bantuan. Kalau kita fikir sedekah hanya untuk orang yang miskin, di luar sana ramai orang yang bekerja sebagai orang miskin yang meminta derma ihsan daripada orang ramai. Sumber pendapatan bulanannya sangat tinggi untuk digelar orang miskin.

Ada orang yang malas untuk bekerja dalam perjuangkan hidup, walhal kegiatan meminta bukan suatu perbuatan yang baik kerana tangan diatas lebih baik dari tangan yang dibawah.

Sedekah Merupakan Pelaburan Saham Akhirat


Sedekah adalah sebuah pelaburan terbaik dalam hidup kita. Kalaulah kita boleh mengira pelaburan hasil dari sedekah, hasilnya terlalu luar biasa yang pastinya membuatkan kita hilang akal kerana diakhirat kelak setiap amalan yang kita lakukan adalah dalam perhitungan yang maha kuasa.

Rajin Sedekah Pun Tetap Miskin


Jangan disalah anggap yang apabila kita rajin bersedekah, kita akan dilimpahkan dengan nikmat rezeki yang meluas. Namun sebaliknya duit tidak juga membanyak.

Jangan jadi seseorang yang mempunyai pemikiran kolot seperti ini. Orang seperti ini terlalu malas dalam perjuangkan hidupnya. Rezeki Allah itu terlalu luas, kita tidak mungkin dapat nyatakan satu per satu pemberian yang telah Dia berikan setiap hari.

Nikmat umur yang panjang, nikmat kesihatan, nikmat otak yang masih boleh berfikir, nikmat mata yang jelas masih boleh melihat, nikmat lidah yang boleh berkomunikasi dan segala nikmat yang lain. Mana mungkin kita boleh nyatakan satu per satu. Terlalu luas!

Dari terus berfikir rezeki yang tidak cukup, cubalah untuk berfikir lebih positif. Belajarlah untuk mensyukuri nikmat yang masih ada. Jika duit itu merupakan cabaran dalam hidup sekarang, gunakan nikmat yang telah Allah berikan sebaik mungkin. Pasti ada jalannya!

Sedekah Bila Kita Kaya Itu Biasa, Sedekah Bila Kita Juga Sedang Memerlukan Itu Luar Biasa


Bukan mudah untuk memberi ketika kita juga sedang memerlukan. Selalunya kita hanya akan berikan bantuan dengan sesuatu benda yang kita tidak terlalu kisah untuk diberikan semata-mata bukannya kerana kasihan dengan orang yang sangat memerlukan itu.

Sedekah yang terhebat adalah apabila kita memberi sesuatu terhadap orang yang memerlukan tanpa kita memandang keadaan kita sama ada mampu atau tidak.

Senyuman Juga Satu Sedekah


Harta bukanlah satu-satunya alat untuk kita bersedekah. Banyak lagi perkara lain yang boleh kita berikan. Senyuman juga sebenarnya satu sedekah.

Macam mana pula dengan pahala di akhirat kelak dibandingkan dengan sedekah berbentuk harta? Bergantunglah kepada niat kita masing-masing. Jika senyuman itu membantu orang lain untuk bahagia, maka senyuman itu lebih tinggi nilainya dari sedekah harta yang hanya untuk dipertontonkan.