Berkawan Baik Sahaja Tapi Hutang Tak Bayar, Ini Mungkin Sebabnya

kawan hutang tak bayar, sebab tak bayar hutang

Berhutang sudah jadi satu keperluan buat semua orang. Tidak kisah dari orang yang biasa sehinggalah pedagang malah artis sekalipun. Pasti semua akan pernah mengalaminya.

Namun apa yang buat rasa tak sedapnya bila hutang itu melibatkan duit kita sendiri dan orang yang diberi pinjam tak mahu bayar semula malah boleh dibuat-buat lupa pula.

Awalnya datang bukan main merayu, cerita kisah sedih perlukan duit sekian-sekian, berjanji untuk lunaskan hutang secepat mungkin. Bila simpati dan bagi bantuan, sekejap saja terus menghilang. Bila dihubungi mula sudah susah untuk diangkat panggilan. Tiba-tiba menghilang.

Kenapa semua ini berlaku? Banyak sebenarnya faktor yang buatkan mereka ini tak bayar semula hutang. Ini mungkin antara beberapa yang boleh kami kongsikan sebabnya.

Tak Berniat Bayar

Salah satu perkara yang buatkan hutang tak pernah terbayar adalah sebab memang dari awal niatnya tak mahu dibayar semula.

Beban Hutang Lagi Besar Dari Pendapatan

Selain itu boleh jadi juga si penghutang mempunyai hutang-hutang lain yang perlu dibayarnya secara beransur-ansur mengikut kadar pendapatan yang dimiliki.

Pastinya sukar jika pendapatan yang ada tidak terlalu banyak sehingga kadar hutang lebih banyak dari kadar pendapatannya.

Rasa Hutang Bukan Tanggungjawab

Buat yang terlalu mudah berikan pinjaman, lihatlah dulu gaya hidup dia yang ingin berhutang dengan anda. Ada jenis orang yang sukakan perkara yang dia tidak perlukan pun, namun sanggup berhutang demi mendapatkan apa yang dia mahu.

Sehinggakan dia tak merasa sikitpun bersalah atas kadar tanggungan hutang yang ada.

Anggap Kawan Tak Kisah

Nama pun kawan, pasti pada mulanya kita rasa perlu tolong. Namun bagi pandangan dia pula, namapun kawan, pasti tak kisah untuk lewat bayar.

Dari lewat bayar mula dilengahkan sehingga buat-buat lupa.

Tak Usaha Berjimat Untuk Bayar Hutang

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Mudah sahaja. Kalau tak boleh untuk berjimat, mulakan bayaran secara ansur walaupun dengan kadar yang kecil.

Tiada usaha untuk lakukan sesuatu untuk melunaskan hutang ini suatu etika yang sangat tak baik ada pada mereka.