14 Tanda dan Simptom Awal Strok yang Boleh Dilihat Pada Seseorang


Apa itu strok? Strok boleh dikenali sebagai penyakit serebovaskular. Ianya berlaku apabila saluran darah tersumbat atau pecah yang mengakibatkan kegagalan beberapa bahagian otak untuk berfungsi. Bahagian-bahagian otak yang kritikal boleh mengalami kerosakan secara kekal yang tidak boleh dirawat.

Simptom strok juga bergantung pada berapa banyak tisu otak yang kekurangan bekalan darah. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami strok ringan mungkin mengalami kelemahan sementara pada bahagian tangan atau kaki, tetapi mereka yang mengalami strok lebih teruk mungkin lumpuh secara kekal pada satu sisi badannya dan tidak dapat bercakap. Sekiranya saluran darah ke otak tidak cepat dipulihkan, baik dengan sendiri atau melalui rawatan perubatan, kesannya mungkin akan kekal.

Sebilangan orang pulih sepenuhnya dari strok, tetapi lebih dua pertiga daripada mangsa strok yang pulih dengan kecacatan kekal.

Apakah Tanda-Tanda dan Simptom Strok pada Seseorang?

Simptom strok biasanya berlaku pada satu sisi badan dan muncul secara tiba-tiba. Dengan serangan iskemia sementara atau transient ischemic attack (kadang-kadang disebut mini-stroke atau TIA), simptom ini selalunya muncul dan mungkin akan hilang dengan sendirinya. Walau apapun, segeralah membawa orang yang mempunyai simptom ke hospital untuk menerima rawatan.

Tanda-tanda dan simptom strok lain yang mungkin berlaku secara tiba-tiba adalah:

  • Rasa lemah dan susah untuk bergerak pada mana mana anggota badan
  • Hilang deria rasa atau terasa "pin dan jarum" pada mana mana bahagian badan secara tiba tiba
  • Mempunyai masalah berjalan atau hilang keseimbangan dan koordinasi badan
  • Penglihatan menjadi kabur, atau masalah penglihatan pada satu atau kedua mata
  • Pening
  • Sakit kepala teruk yang luar daripada kebiasaannya
  • Kekeliruan
  • Ketidakupayaan untuk bercakap, percakapan tidak jelas, atau tidak berupaya untuk memahami pertuturan
  • Hilang ingatan
  • Perubahan tingkah laku
  • Kekejangan otot
  • Kesukaran untuk menelan makanan

Apa yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Seseorang Mengalami Strok?

Jangan berlengah dan segera hubungi 999 untuk kecemasan. Anda mungkin boleh membantu menyelamatkan nyawa atau mengurangkan kemungkinan kecacatan jangka panjang.