Cara Penjagaan Rambut Dari Sumber Bahan Makanan Dan Semulajadi.


Rambut yang cantik, lembut dan lebat semestinya menjadi keinginan semua orang tak kira lelaki mahupun wanita. Percaya atau tidak, rata-rata orang yang berusia seawal 20-an sudah mula mengalami masalah rambut. Kebanyakan mereka mengalami masalah rambut jarang yang kronik akibat gugur, juga nipis dan beruban. Malah, ada juga yang mengalami masalah botak yang bertompok- tompok.

Keadaan ini biasanya disebabkan oleh peredaran darah yang tidak sekata di kawasan kepala. Tidak dinafikan ia juga berpunca dari genetik dan stress. Tapi tahukah anda cara penjagaan rambut yang salah juga akan menyebabkan rambut anda yang rosak.

Oleh itu, rambut perlu dirawat secara langsung dengan ubat, tonik dan penggunaan syampu serta perapi yang sesuai. Di sini kami ingin kongsikan kepada anda bahan-bahan semuajadi yang mampu menyihatkan rambut.

Telur ayam
Pecahkan 2 biji telur ayam dan kacau, tidak perlu dipukul macam nak buat bahulu pulak tau. Ratakan di kulit kepala dan biar selama 15 minit. Cuci rambut dengan air suam menggunakan syampu yang sesuai. Lakukan seminggu sekali untuk menggalakkan rambut lebat dengan lebih cepat.

Buah avokado
Lumatkan isi buah avokado bersama pisang. Sapu campuran ini ke kulit kepala dan urut supaya rata. Biarkan ia mengering selama setengah jam. Bilas dengan syampu. Setelah rambut kering, anda akan mula nampak rambut menjadi lebih tebal dan beralun.

Lidah buaya
Tambah titisan madu dalam gel lidah buaya dan lumur keseluruhan rambut atau boleh terus melumur rambut dengan gel daun lidah buaya yang dikupas kulitnya. Biarkan selama 30 minit kemudian dibilas sehingga bersih. Daun lidah buaya dapat menambahkan nutrisi pada rambut.

Minyak kelapa dara
Pernah dengar rawatan minyak panas? Ianya boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan minyak kelapa dara. Caranya, panaskan minyak kelapa dara, ambil dan urut de kawasan kulit kepala secara membulat tanpa memberikan tekanan yang kuat. Kemudian, balut kepala dengan tuala tebal yang dah direndam dalam air panas dan biar selama setengah jam. Bilas dengan syampu bebas kimia dan ulangi langkah ni seminggu sekali dan anda akan nampak rambut mulai lebat dan cantik

Bawang merah
Kupas sebiji bawang merah, parut dan perah untuk diambil airnya sahaja dan lumur pada keseluruhan rambut. Biarkan beberapa minit dan cuci hingga bersih. Kandungan belerang yang tinggi yang terdapat pada bawang merah mampu membuatkan rambut tumbuh dengan lebih cepat secara semulajadi.

Daun inai
Kisar atau tumbuk lumat daun inai dan campur dengan sedikit air bagi menjadi pes. Ratakan di seluruh kulit kepala dan balut dengan “shower cap” selama 3 jam. Kemudian bilas dengan air bersih dan gunakan perapi rambut. Ulangi langkah ini 2 kali seminggu untuk menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih aktif

Teh hijau
Lumurkan 2 sudu teh hijau atas rambut secara menyeluruh, tutup dengan kain dan biarkan selama 30 minit. Kemudian bilas rambut dengan bersih.Teh hijau mengandungi antioksidan yang dapat melancarkan pengaliran darah hingga meransang pertumbuhan rambut dengan cepat.

Santan
Lumur rambut dengan santan kelapa yang diperah dan tutup dengan kain selama 20 minit, kemudian bilas hingga bersih. Boleh dilakukan 2 kali seminggu. Santan kelapa dapat menjadikan rambut lebih lebat, lembut dan hitam bersinar.

Oleh itu, penjagaan rambut amatlah penting, mulakan penjagaan rambut anda dari awal usia. Semoga tip ini dapat membantu anda dalam penjagaan rambut yang sihat agar anda tampak bergaya dan awet muda. Selamat mencuba.