Cipta Impian Untuk Masa Hadapan. Usah Berputus Asa.


Setiap dari kita pasti ada impian. Malah sejak dari kecil lagi, kita sudah mula meletakkan keinginan dan impian dalam diri tanpa kita sedari. Sewaktu kecil kita sangat suka bermain dengan anak patung, kemudian bermain pondok-pondok, ada yang menjadi emak atau ayah, dan ada pula watak yang kita cipta untuk jadi anak. Kita mahukan pasangan yang cantik. Begitu juga watak si ayah, mestilah pandai memujuk kalau kita merajuk. Kita juga pernah bermain sanding-sanding dan masak-masak. Semuanya itu menggambarkan impian kita. Walaupaun ianya telah lama berlalu kita mungkin boleh melihat anak-anak kita pula yang akan melaluinya.

Jangan biar impian sekadar angan-angan


Mengenang kembali impian semasa kita kecil dengan melihat semua impian yang kita inginkan pada masa kini mungkin tidak jauh bezanya. Cuma kita lebih matang dan lebih rasional. Kita memikirkan banyak perkara. Wajarkah impian itu diteruskan atau tukar sahaja impian yang tidak logik itu kepada impian yang "berpijak di bumi nyata". Semuanya dalam perkiraan atau dulu mungkin ia hanyalah impian, tetapi serentak dengan peredaran zaman dan perubahan masa, impian itu telah bertukar menjadi tanggungjawabnya pula. Mahu atau tidak, kita terpaksa melaksanakannya.

Berusaha mencipta impian yang baharu


Dalam banyak perkara, saya percaya anda juga seperti saya. Impian seorang lelaki, suami dan ayah. Impian kita mahukan sebuah rumahtangga yang sempurna. Ada isteri, anak-anak dan dilimpahi dengan kasih sayang. Tetapi sayang tidak semua impian itu kesampaian. Ada hubungan yang sampai hanya di pertengahan dan berkecai begitu sahaja. Ada juga hubungan yang bernasib baik, berjaya sampai hingga ke puncaknya. Tetapi, janganlah anda berputus asa jika impian itu musnah, cubalah lagi. Selagi hidup, kita masih boleh memikirkan impian seterusnya.

Fokus, usaha dan tawakal


Apabila bersendirian saya selalu berfikir tentang impian, kerana ia adalah sesuatu yang mesti ada dalam setiap hidup insan. Tidak kiralah sama ada anda menggelarkannya impian ataupun angan-angan, namun ia tetap menjadi satu keperluan. Ini kerana sesuatu kejayaan itu bermula dengan impian. Ia kemudiannya dipupuk menjadi azam serta matlamat kita dan akhirnya mendorong kita untuk mengapainya.
Mengapai impian memang payah, ia tidak semudah yang kita bayangkan. Semangat dan tumpuan yang jelas perlu ada. Kuatkan hati dan cekalkan iman. Mengapai impian memerlukan pengorbanan. Mungkin rezeki belum menyebelahi kita pada masa ini. Tetapi jangan biarkan putus asa itu membelenggu diri kita.

Oleh itu, berusahalah selagi masih terdaya. InshaaAllah dengan usaha beserta doa dan tawakal, Allah akan permudahkan segala kebaikan yang kita kejar.