Cuci Kereta Dengan cara Yang Salah Akan Menyebabkan Calar, Ini Tips Untuk Cuci Kereta Dengan Betul.


Mencuci kereta adalah cara paling mudah untuk menjaga penampilan kereta. Namun awas, sebahagian daripada anda mungkin mencuci kereta dengan cara yang salah! Biarpun ada beratus cara dan tip mencuci kereta, kadang-kadang anda tidak mengendahkannya kerana berfikir “ Ala, basuh asal bersih dan kilat sudahlah,”

Tahukah anda mencuci kereta bukan sahaja dapat mengekalkan kecantikan luaran kereta malah menjimatkan wang, masa dan tenaga. Tetapi, ada caranya.

Artikel ini akan mengupas beberapa tip dan helah mencuci bagi mengelakkan calar, kesan pusaran dan pembentukan sarang labah-labah akibat cucian yang tidak betul. Jika cucian dilakukan dengan betul, sebenarnya permukaan cat kenderaan boleh bertahan selama 1 hingga 2 tahun sebelum memerlukan prosedur penggilapan penuh.

1. Kaedah cucian dua baldi

Pernah dengar? Kalau anda faham dan aplikasi konsep ini, confirm hasilnya terbaik. Sebelum itu, cuba imbas kembali bagaimana anda mencuci kereta selama ini. Hantar kedai atau car wash pandu lalu tu tak kiralah.

Ini cerita tentang mencuci kereta sendiri di rumah. Sesetengah orang menggunakan satu baldi sahaja. Isi air dan sabun, ambil span, celup dalam air sabun dan mula membasuh. Kemudian span yang digunakan tadi dimasukkan semula ke dalam baldi yang sama, sebelum membasuh bahagian kereta yang lain pula.

Dengan melakukan ini, air basuhan tadi dah bercampur dengan kotoran yang baru sahaja dikeluarkan dari permukaan kereta. Kotoran yang melekat pada kain lap/span akan mencemarkan air basuhan dan secara tidak langsung kotoran ini akan dipindahkan semula ke permukaan kereta anda. Yang teruknya, kotoran ini akan mencalarkan bahkan  ‘mengukir’ permukaan cat dan menjadikannya kelihatan kusam.

Nasib baik ada penyelesaian yang mudah dan berkesan untuk isu ini. Daripada menggunakan hanya satu baldi, anda disarankan menggunakan dua. Satu baldi untuk air sabun (basuhan), satu lagi untuk air membilas (bilasan). Baldi bersaiz sederhana sudah mencukupi untuk mengeluarkan sisa kotoran daripada span pencuci anda.

2. Grit guard dan washboard

Grit guard dan washboard merupakan aksesori tambahan yang agak baru dalam proses cucian kereta. Grit guard diletakkan ke dalam dasar kedua-dua buah baldi basuh dan bilas. Tugasnya adalah untuk mengekstrak dan mengeluarkan kotoran dan partikel daripada span.

Alat ini membuatkan kotoran yang telah diasingkan tadi mendap ke bawah. Hasilnya, span yang anda gunakan bebas daripada sisa kotoran setiap kali menggunakan air basuhan.

Washboard berfungsi bersama-sama dengan grit guard. Bezanya washboard menyediakan permukaan menegak untuk memudahkan anda menyental span.

3. Sabun

Pemilihan sabun pencuci yang  betul adalah sangat kritikal dalam menentukan sebanyak mana tenaga dan masa yang anda perlukan. Terdapat bermacam jenama sabun pencuci yang ada di pasaran, pilihlah apa saja kecuali sabun pencuci pinggan kerana ia mengandungi detergen yang kuat.
Bukan sahaja ia mampu menghilangkan kotoran dan minyak malah ia bertindak agresif terhadap lapisan cat dan wax permukaan kereta.

Sebaliknya, pilihlah sabun yang mempunyai pH seimbang berkualiti tinggi yang direka khas untuk membersihkan permukaan yang dicat. Sabun ber-pH neutral diformulasikan untuk pelinciran maksimum dan perlindungan daripada calar.

4. Wash mitt

Melaburlah untuk span atau wash mitt yang berkualiti tinggi. Terdapat bermacam jenis wash mitt di pasaran. Namun begitu seiring dengan perkembangan teknologi kini, kami syorkan penggunaan wash mitt mikrofiber. Ia dicipta ekstra lembut, mengandungi helaian mudah serap yang dapat mengangkat dan memerangkap kotoran daripada permukaan cat yang sensitif.

5. Tuala pengering

Jangan abaikan langkah terakhir iaitu pengeringan. Kebanyakan kita lebih senang menggunakan kain buruk atau tuala bermaterial kapas untuk mengelap kering kereta. Tetapi tahukah anda kain kapas sebenarnya agak kasar untuk digunakan ke atas cat kereta dan boleh meninggalkan kesan calar.