Gigi Anda Berlubang?. Petua Mudah Merawat Gigi Yang Sakit.


Anda pasti pernah mengalami sakit gigi bukan? Tambahan pula kalau sakit gigi yang berlubang. Sakitnya bukan main lagi, satu kerja pun tak boleh dijalankan, hilang mood dibuatnya. Waktu inilah emosi akan terganggu, semua jadi serba tak kena. Apa yang lalu di depan mata, nak dimarah saja. Tapi nak mencari ubat di klinik, sudah lewat malam. Nak keluar ke kedai pun, kedai semua dah tutup. Terpaksa la menahan sakit nak tunggu hari siang.

Sebenarnya banyak je kaedah atau petua orang-orang lama yang boleh diamalkan untuk hilangkan sakit gigi atau gigi berlubang buat sementara waktu. Disini kami ingin berkongsi tips yang sangat mudah diamalkan memandangkan kebanyakan bahannya memeng tersedia di dapur rumah.

Kumur mulut dan gosok gigi
Semenjak kecil lagi kita sudah dipesan tentang betapa pentingnya penjagaan gigi yang sempurna. Kalau dulu sewaktu kecil mak ayah selalu berpesan “Berus gigi dulu sebelum tidur”. Gigi perlu diberus dengan kaedah yang betul dan juga pada waktu yang ditetapkan. Bakteria merupakan sebab utama sakit gigi anda berlanjutan. Ia juga merupakan penyebab kepada kerosakan gusi dan permukaan gigi.
 
Jadi, hilangkan sakit gigi anda dengan membersihkan mulut supaya dapat membunuh bakteria tersebut. Sebagai langkah penjagaan, jangan lupa atau malas untuk membersihkan gigi dan mulut beberapa ketika setelah selesai makan. Ini membantu untuk mengurangkan atau menghentikan pembiakan bakteria dari sisa makanan yang tertinggal di celahan gigi dan gusi.

Ais ketul
Untuk menghilangkan sakit gigi di rumah, ambil beberapa ketul ais lalu masukkan ke dalam beg plastik. Kemudian, tuam di atas pipi bahagian gigi yang sakit. Langkah ini bertindak seperti menggunakan ubat kebas dan mampu meredakan sakit buat sementara waktu.

Garam
Ini merupakan bahan yang paling mudah untuk didapati di rumah. Mustahil di dapur sesebuah rumah tidak mempunyai garam bukan?. Ternyata di sebalik rasa masin garam tersebut, kandungan sodiumnya mampu hilangkan rasa sakit pada gigi yang berlubang. Caranya mudah sahaja, ambil sedikit garam dan larutkan di dalam segelas air suam dan gunakan larutan tersebut sebagai bahan kumur. Boleh dikumur berkali-kali sehingga rasa denyutan tersebut berkurangan dan hilang. Tetapi anda tidak disarankan untuk mengunyah garam tersebut. Nanti jadi lagi teruk pula.

Limau nipis
Siapa kata limau nipis hanya boleh dijadikan bahan minuman, masakan, dan cucian semata-mata? Selain daripada kegunaan-kegunaan tersebut, limau nipis juga boleh bertindak sebagai ubat gigi yang sakit. Caranya, potong limau nipis kepada bahagian-bahagian kecil lalu diperah jusnya ke dalam bekas. Gunakan sudu kecil untuk mengambil jus tersebut, lalu titiskan sedikit demi sedikit ke atas bahagian gigi yang sakit. Berhenti seketika dan ulang lagi proses tersebut selang 10 minit berlalu sehingga habis jus. Vitamin C yang terkandung di dalam limau nipis mampu hilangkan sakit gigi yang dialami.

Bawang merah
Ambil satu labu bawang merah, kupaskan kulitnya lalu dihiris. Kemudian kunyah hirisan bawang tersebut menggunakan bahagian gigi yang sakit sehingga rasa sakitnya hilang. Jika tidak mampu untuk mengunyah, hirisan bawang tersebut boleh digosok pada gigi. Ini dapat membantu membunuh bakteria penyebab jangkitan.

Bawang putih
Selain bawang merah, bawang putih juga boleh digunakan sebagai ubat. Bawang putih bersifat antibiotik , dan sangat efektif untuk mengurangkan sakit gigi. Bagaimana?, ambil satu labu bawang putih dan kupas kulitnya. Tumbuk sehingga halus, tambahkan sedikit garam dan kemudian sapu dan ratakan pada bahagian gigi anda yang sakit. Ulangi langkah rawatan ini beberapa kali atau beberapa hari untuk menghilangkan sakit pada gigi.

Biji asam jawa
Untuk biji asam jawa, ambil segenggam biji asam jawa lalu tumbuk atau kisarkan sehingga lumat, sapu dan ratakan biji yang telah dikisar itu pada gigi. Simpan lebihan bahan tersebut dan boleh digunakan semula apabila rasa sakit datang kembali.

Tips yang kami kongsikan ini adalah untuk sakit gigi yang minor atau bagi mengurangkan sakit gigi buat sementara waktu anda menunggu klinik dibuka. Anda perlu cepat berkunjung ke klinik gigi dan menampal lubang pada gigi dengan segera untuk mengelakkan kerosakan tersebut menjadi lebih teruk.

Oleh itu, penjagaan gigi amatlah penting bagi memudahkan anda untuk mengunyah makanan, bertutur dan menjalani kehidupan seharian. Kurangkan makan manisan dan keraplah memberus gigi agar gigi anda kekal sihat dan tidak mudah rosak. Sayangilah gigi anda. Selamat beramal.