Jangan Putuskan Hubungan Silaturrahim Antara Adik-Beradik. Ingatlah Asal Usulmu.


Bergaduh macam mana manapun suatu saat pasti akan terasa rindu bila dikenang. Kata pepatah Melayu "Air dicincang memang takkan putus". Begitulah akrabnya hubungan adik beradik. Manakan tidak, saat membesar bersama, darah daging dari mak ayah yang sama, keluar dari rahim yang sama, hidup di rumah bersama.

Bila semakin dewasa, hubungan jadi makin renggang, dan masing-masing ada haluan hidup yang berbeza, lalui ujian hidup yang pelbagai. Boleh jadi juga berlaku salah faham bila masing-masing dah tinggal berasingan dan berkerjaya, berumahtangga, beranak pinak. Rasa tak selesa mungkin muncul bila adik-beradik bagi nasihat soal kehidupan masing-masing, soal keluarga kita, kita merasa over protective. Rasa tak nak adik beradik sibuk ambil tahu hal personal, keluarga dan anak-anak tak boleh nak masuk campur.

Mereka hanya inginkan yang terbaik untuk kita

Tetapi kalau kita letakkan kasih sayang itu sebagai pertimbangan asas, kita akan sedar yang hakikatnya adik-beradik ni hanya nakkan yang terbaik untuk kita. Tindakan dan kata-kata nasihat tu adalah demi kebaikan kita juga.

Namun, adik beradik kita semua manusia. Kadang tersilap tutur kata atau tersalah langkah dalam hidup, terikut-ikut kehendak diri yang merosakkan. Janganlah kita buang mereka. Janganlah kita rasa benci pada mereka dan tutup terus pintu cinta dan kasih sayang. Mereka kan adik beradik kita. Macam mana pun, suatu hari nanti kita akan rindu semua moment itu.

Jangan berkira dengan adik beradik

Dengan adik beradik ni tak usahlah berkira sangat. Tak usahlah mengungkit-ungkit kebaikan kita. Ada masa kita senang, Allah uji kita dengan adik beradik kita susah. Ada masa kita susah, mereka jugalah yang terdahulu akan menghulurkan bantuan dan sokongan.

Kita dengan adik beradik ni jangan sombong, jangan bermasam muka, jangan cepat terasa, jangan suka cari kelemahan. Kita kena saling membantu dan bagi dorongan yang baik. Bersedia terima nasihat dalam suasana yang penuh kasih sayang.

Jahat macam mana pun kita rasa mereka, kita tak boleh nak nafikan tali hubungan, rasa cinta dan kasih sayang yang telah terbina ini. Macam mana kuat kita rasa nak putuskan hubungan adik beradik, tak mungkin terputus hubungan darah daging yang kuat ini.

Walaupun sekarang ni masing-masing tidak lagi tinggal bersama, dah ada kehidupan dan keluarga baru masing-masing, dah sibuk dengan kerjaya sendiri, dah ada banyak teman-teman rapat untuk dikongsi dan cerita pelbagai benda, jangan lupa mereka lah yang bersama-sama kita masa usia membesar dalam mengenal erti hidup.

Kenangan sentiasa terpahat dihati

Dulukan kita hidup susah senang bersama, bermain bersama, membesar bersama, merencanakan aktiviti-aktiviti pelik bersama, hidup di bawah satu bumbung yang sama.

Biarlah kita jauh daripada segi jarak, namun hati kita sentiasa saling mengingati, saling mendoakan, saling menginginkan yang terbaik untuk semua adik beradik kita.

Kenangan yang dah kita bina bersama-sama adik beradik, janganlah lenyap kerana duniawi yang membawa kita jauh dan terasing.

Ingatlah asal usul kita

Mengenang adik beradik itu membawa kita mengenang asal usul kita, mengenang asal kehidupan kita, mengenang kedua ibubapa kita yang penat lelah membesarkan, memberi didikan dan kasih syang. Ingatlah asal-usul kita. Ingatlah adik beradik kita. Rajinkan diri untuk ambil berat selalu berkunjung untuk bertanyakan khabar.

Oleh itu, apa yang diharapkan semoga adik beradik kita semua sentiasa berada dalam keadaan yang baik selalu, diberi kesihatan yang baik dan berjaya dunia akhirat.