Kelebihan Jika Berkahwin Di Usia Muda. Anda Sudah Merancang?


Seronok ke hidup kahwin di usia muda ni? Ramai juga yang berkongsi cerita tentang indahnya rasa hidup kahwin muda, Jangan salah faham tau, isu kahwin muda yang bakal dibincangkan disini tiada kena mengena dengan perkahwinan bawah umur ya. Untuk lebih jelas, kahwin muda di sini adalah perkahwinan yang melibatkan pasangan berusia seawal 20-an. Jadi apakah berkahwin di usia muda adalah jalan yang terbaik dan paling tepat?

Ada peneman disisi yang setiasa memberi sokongan dan semangat

Untungnya bila berkahwin muda, pasanganlah yang ada dengan kita waktu suka dan duka termasuklah masa kita pegang skrol graduasi di konvokesyen Universiti, waktu kita tertekan menghadap situasi di alam pekerjaan, waktu kita menangis gembira di hari pernikahan, waktu kita meneran melahirkan zuriat untuknya. Dari dulu sampai sekarang semua kenangan jatuh naik dalam kehidupan dapat dikongsi bersama pasangan.

Masih belum jumpa visi hidup?

Meskipun ramai yang bingung dengan keadaan hidup yang masih belum terurus kerana masing-masing baru hendak kenal hidup, baru nak mencari corak hidup dan kerjaya, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat sebenarnya. Anda dan pasangan yang baru berkahwin sepatutnya perlu duduk dan berbincang. Cari jalan untuk memulakan hidup dan mencorak keluarga yang dibina dengan cara terbaik. Inilah masanya untuk anda dan si dia mula menjadi matang dan belajar berdikari dalam mengharungi bahtera perkahwinan yang baru dibina. Kan lebih menyeronokkan begitu.

Kewangan yang stabil

Kekangan untuk pasangan muda berkahwin adalah kerana kewangan yang masih belum stabil. Namun jika anda cukup bijak, dengan pendapatan yang sedikit itu apabila digabungkan bersama pendapatan pasangan, anda sebenarnya boleh berjimat dan dalam masa yang sama boleh merangka perbelanjaan cara baharu yang melibatkan kedua-dua belah pihak. Berbeza apabila anda masih bujang dan banyak menghabiskan wang kearah hal yang tidak berfaedah seperti melepak, beli rokok dan sebagainya. Apa yang penting ada persefahaman dan tidak berat sebelah antara anda dan pasangan. Baik bayaran bil mahupun duit sewaan rumah dan perbelanjaan asas harian seperti makanan dan barang dapur, anda dan pasangan boleh bergilir-gilir dan membahagikan tanggungjawab masing-masing mengikut kemampuan.

Cahaya mata

Inilah untungnya bila berkahwin muda. Anak-anak akan cepat membesar seiring dengan kemampuan diri anda dan pasangan. Keadaan anda yang masih muda sudah tentu mampu melayan karenah anak bahkan boleh membesarkan mereka dengan segala macam nikmat kerana anda masih sihat dan mampu bekerja dan membiayai keperluannya secukup mungkin. Dan apabila anak sudah dewasa kelak, anda masih mampu untuk melakukan akviti lasak bersama mereka.

Rasa Bosan Terhadap Pasangan?

Memanglah anda sudah mengenali pasangan sejak bertahun lalu. Bila dah kahwin anda pasti mahu hidup sehingga tua bersamanya. Ramai bertanya apakah seseorang itu tidak akan bosan terhadap pasangan yang sudah terlalu lama dikenalinya itu? Jika hidup penuh berkasih sayang dan anda tahu bangaimana untuk menghangatkan lagi rasa cinta itu pasti jawapannya tidak.

Asalkan keduanya pandai menyeimbangkan situasi dalam rumah tangga, tidak mengabaikan keperluan seksual pasangan serta bijak menggunakan emosi untuk mengambil hati pasangan. Perasaan bosan tidak akan wujud pun. Menurut kajian, pasangan yang sudah kenal sejak dari bangku sekolah dan kemudian berkahwin kurang berisiko untuk bercerai bahkan dikatakan lebih bahagia tau.

Oleh itu, sesebuah hubungan memerlukan kerjasama antara kedua-dua pasangan. Ia memerlukan masa dan usaha dari kedua belah pihak dan barulah kebahagiaan akan tercipta. Jika anda hanya mengharapkan yang terbaik dari pasangan tanpa anda sama-sama berusaha untuk memperbaiki dan membuat yang terbaik untuk hubungan maka harapan anda hanya sia-sia. Perasaan cinta akan semakin pudar seandainya anda tidak semai dan jaga.

Jika tak keberatan, anda boleh bookmark website Nakbebel untuk membaca artikel-artikel menarik yang akan kami kongsikan.