Kenapa Anak jadi Degil Dan Nakal?. Tips Berkomunikasi Dengan Anak Mengikut Cara Yang Betul.


Setiap sikap manusia berbeza-beza, begitu jugalah sikap anak-anak yang masih kecil, ada anak pendiam, ada anak yang petah dan banyak bercakap. Yang petah pun boleh jadi kurang bercakap. Kadang-kadang, kita tidak tahu apa puncanya. Jadi cara layanan dan percakapan kita juga harus berbeza mengikut sikap dan cara mereka.

Kenapa anak semakin degil dan tak dengar cakap?
Kadang-kadang, ibu-bapa juga cakap dengan kasar. Atau mesejnya tidak jelas dan membuatkan si anak keliru. Bagi anak yang baru mula belajar bercakap, mereka perlu masa untuk memahami apa mesej yang anda cuba sampaikan.

Di sini kami ingin berkongsi dengan anda tips yang perlu anda amalkan untuk memperbaiki cara berkomunikasi dengan anak

Jangan cakap tergesa-gesa

Pernahkah kita sebagai ibu-bapa tidak tahan kerana anak lambat sangat menghabiskan ayat? Mesti rasa kurang sabar bukan? Sepatutnya, kita mesti tunggu beberapa saat selepas anak selesai bercakap sebelum anda mulakan bicara. Cakap perlahan-lahan dan intonasi mesti dalam keadaan relaks. Ia lebih efektif daripada terus mengkritik anak tanpa mengetahui apa puncanya. Tentunya nasihat ibu-bapa seperti “Perlahan sikit!”, “Cuba sekali lagi!” tidak akan diendahkannya.

Biar anak bebas meluah pandangan dan idea

Bebas bukan bermakna boleh cakap sesuka hati. Perkataan larangan seperti bodoh, babi, sial jangan sesekali terpacul atau diungkapkan dari mulut ibu-bapa. Anak akan ikut apa yang keluar dari mulut ibu-bapa mereka. Bebas disini bermakna berikan anak-anak kebebasan dan ruang untuk menterjemah idea sendiri dan meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati. Ibu-bapa jangan terlalu memaksa anak menjawab soalan mereka pada masa itu juga. Cuba sesekali komen apa yang anak perkatakan. Jika bukan ibu bapa yang selalu mendengar keluhan dan masalah anak-anak, jangan pula nanti mereka mencari orang yang tidak sepatutnya untuk menjadi tempat mereka berkongsi masalah dan pendapat.

Fokus dan perhatian sepenuhnya

Setiap hari, peruntukkan sedikit masa untuk berikan perhatian yang tidak berbelah bagi pada anak. Layan mereka seadanya, bukan hanya sekadar layan bagai tiada perasan. Diakui, ibu-bapa penat selepas kerja dan mahukan waktu bersendirian untuk berehat. Pada waktu ini, biarkan anak lakukan apa yang dia minat. Gunakan masa tersebut untuk diluangkan bersama mereka. Percayalah, saat-saat manis ini akan segar dalam minda anda sehingga tua nanti. Biarkan anak bercakap dengan penuh semangat sambil dia mengetahui ibu-bapanya terhibur dengan aktiviti tersebut. Apabila anak rasa selesa, barulah mereka akan mula bercakap banyak dengan ibu-bapa mereka sendiri sehingga ke topik yang lebih mendalam. Jadilah pendengar yang baik untuk anak-anak.

Riaksi ibu bapa semasa berkomunikasi

Bagaimana anak mahu tahu yang ibu-bapa mereka betul-betul mendengar cerita mereka? Tentulah dengan ‘facial expression’ dan ‘body language’ yang tidak dibuat-buat. Elakkan dari mengangguk-angguk sahaja sambil memegang telefon bimbit dan melayari Facebook. Dengar apa mesej yang anak mahu sampaikan. Jangan pula act macam tunggul kayu seperti tidak mempedulikan mereka. Ini antara punca anak-anak pula bersikap sedemikian terhadap ibu bapa setelah mereka dewasa.

Perbaiki cara kita bercakap

Sorot kembali, bilakah waktu kita beri arahan, mereka benar-benar dengar? Tentu kita akan terkenang, “Oh, bila kita cakap macam ni, baru dia dengar”. Sekali lagi, kurangkan kritik dan soalan paksaan untuk anak. Gunakan bahasa mudah yang dia mahu dengar. Kadang sikap ibu bapa yang suka berleter membuatkan anak tutup fokusnya untuk mendegar segala leteran sehinggakan hal yang anda suruh pun mereka tidak perasan dan ambil berat.

Ajar anak jangan menyampuk

Apabila ada anak yang ramai, sebagai ibu-bapa mesti runsing apabila masing-masing mahu bercakap. Apabila seorang lagi tidak dilayan, yang seorang lagi akan marah. Anak-anak suka berkongsi, dengar dari kedua-duanya sekali pada satu-satu masa. Mungkin secara tidak sedar, anda sendiri yang terbiasa menyampuk ketika mereka sedang bercakap. Itu membuatkan mereka merasa hal menyampuk bila orang dewasa bercakap ini normal dan tak menampakkan seolah mereka kurang ajar atau biadap.

Oleh itu, apa-apa pun, terima anak kita seadanya. Berikan sokongan penuh pada mereka dalam apa jua minat dan hobinya. Kalau bukan ibu-bapa yang mahu menyokong mereka, siapa lagi?. Ajar anak-anak dengan nilai kasih sayang, jangan hanya tahu menghukum dan marah setiap kali mereka melakukan kesalahan dan kesilapan.

Jika tak keberatan, anda boleh bookmark website Nakbebel untuk membaca artikel-artikel menarik yang akan kami kongsikan.