Kesan Asap Rokok Amat Berbahaya. Minda Anda Dimanipulasi Tanpa Sedar.


Sejak kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam, banyak reaksi diterima tidak kiralah bersetuju mahupun membantah keputusan tersebut.

Adakah anda tahu mengapakah perokok berasakan diri lebih bertenaga dan fokus selepas merokok, terutama ketika sedang stress?. Sebatang rokok mengandungi kira-kira lapan hingga 9mg nikotin yang disifatkan bahan psikoaktif, malah kajian menunjukkan bahan berbahaya itu memberi kesan terhadap psikologi individu.

Jenis bahan kandungan
Sebatang rokok tembakau mengandungi nikotin (bahan racun serangga), butane (bahan pemetik api), arsenik (racun), metanol (minyak roket), ammonia (pembersih lantai) dan sebagainya bertindak merangsang aktiviti otak.

Perokok juga percaya rokok membantu mereka fokus dalam sesuatu perkara termasuk ketika memandu, bagi mengurangkan tekanan, memberi ketenangan fikiran dan paling popular dalam kalangan wanita adalah membantu menurunkan berat badan.

Merokok bukanlah tabiat sebaliknya ketagihan yang tidak dapat dikawal oleh individu.

Kebanyakan perokok menyedari risiko kesihatan yang bakal dialami akibat gaya hidup yang tidak sihat ini, namun mereka selesa meneruskan tabiat merokok.

Alasan merokok
Alasan paling mudah, perokok menyifatkan rokok sebagai alternatif yang memberi ‘keseronokan’ sedangkan hakikatnya ia hanya disebabkan ketagihan nikotin. Apabila nikotin memasuki otak, ia akan mempengaruhi aktiviti otak, lantas terhasilnya kesan keseronokan seperti mengurangkan kebimbangan dan memberi ketenangan kepada perokok,

Nikotin antara satu daripada dadah yang bertoksid berbanding sianida. Meskipun wujud pelbagai kempen antirokok dan pelaksanaan undang-undang larangan merokok di tempat awam seperti restoran dan kawasan rehat dan rawat (R&R), namun golongan perokok tidak peduli.

Perokok mengakui kenaikan harga rokok di pasaran tidak akan menyebabkan mereka bertukar kepada jenama rokok yang lebih murah.

Secara umumnya, ketagihan merokok menjejaskan sistem pernafasan seperti penyakit sekatan pernafasan kronik (COPD), radang paru-paru, asma dan kanser paru-paru.

Oleh itu, perokok yang ingin menghentikan tabiat buruk ini dinasihatkan untuk mencari kaedah terbaik. Melalui nasihat dari doktor dan pakar. Banyak alternatif yang boleh digunapakai untuk menghentikan tabiat merokok. Bertindak sebelum terlambat.