Konsep Rezeki Dari Sudut Pandang Agama. Adakah Rezeki Boleh Dihitung?


Bercakap mengenai rezeki memang ramai orang akan tertarik dan teruja tetapi masih ramai orang mempunyai anggapan yang kurang tepat tentang rezeki. Ramai orang menganggap rezeki adalah dalam bentuk nilai wang atau duit, maka dengan itu seseorang hamba akan terus menerus berdoa kepada tuhannya memohon bantuan atau 'rezeki' yang disangkakan dalam bentuk wang semata-mata. Kita perlu jelas dahulu apakah maksud rezeki dari sudut pandang agama supaya kita memahami maksudnya dengan betul, tepat dan supaya ibadah berdoa itu dapat dilaksanakan dengan kesefahaman yang selari dengan konsep agama.

Haruslah kita fahami bahawa segala perkara yang baik yang telah kita lalui merupakan rezeki contohnya, ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan, rakan-rakan yang selalu memberi nasihat, tempat kerja yang menjanjikan masa hadapan dan ketenangan minda serta kesihatan tubuh badan. Sebenarnya terlalu banyak untuk kita masukkan ke dalam konsep rezeki, cukuplah sekadar kita tahu dan faham segala pengalaman yang baik dan bagus untuk diri kita sebenarnya tergolong dalam kategori rezeki. Terdapat banyak jenis rezeki berdasarkan Al-Quran dan Hadis yang dapat kita perolehi dengan mengamalkan beberapa anjuran dan nasihat di dalam kitab suci dan kitab hadis.

Rezeki Yang Dijamin

“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya”-Surah Hud, ayat 6. Sedarlah kita bahawa segala makhluk yang diciptakan telah pun ditentukan rezekinya.

Rezeki Kerana Bersyukur

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu”-Surah Ibrahim, ayat 7. Disini kita dapati terdapat perbezaan bagi hamba yang bersyukur kerana janji Allah SWT akan memberi tambahan kepada mereka yang mensyukuri sahaja, bagi mereka yang tidak maka tiada tambahan rezeki.

Rezeki Yang 'Suprise'

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) serta memberikan rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya"-Surah at-Thalaq, ayat 2-3. Berkenaan ayat ini kita dapati bahawa jaminan dan arahan berbeza dengan yang sebelum ini iaitu menyuruh kita untuk bertaqwa dengan memberi jaminan untuk bebas daripada segala masalah melalui cara yang tidak kita jangkakan.

Rezeki Istighfar

“Pohonkanlah kampunan kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun, (jika dilakukan) ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu"-Surah Nuh, ayat 10-11. Perkara mudah yang selalu kita ambil ringan adalah memohon keampunan kepada Allah SWT dengan melafazkan sebutan 'Astaghfirullah', semudah-mudah perkara yang memberi pulangan rezeki tapi perlu dengan keihklasan dan pengharapan akan keampunan.

Rezeki Bernikah

“Dan nikahkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, orang-orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya"-Surah An Nur, ayat 32.Kali ini mungkin ramai yang sudah pun mengetahui kerana telah lazim bagi budaya kita menyebut tentang anugerah rezeki setelah berkahwin.

Rezeki Kerana Anak

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka satu kesalahan besar”-Surah Al-Isra, ayat 31. Bagi mereka yang telah berkahwin janganlah khuatir akan rezeki apabila bertambah bilangan anak malah itulah penyebab kepada rezeki kita bertambah.

Rezeki Bersedekah

“Siapakah yang memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan"-Surah al-Baqarah, ayat 245. Amalan bersedekah bukan sahaja dipercayai oleh penganut agama Islam malah kebanyakkan agama juga menganjurkan amalan ini dengan ganjaran yang hampir serupa.

Rezeki Awal Pagi

Sabda Rasulullah SAW “Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dikalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah SWT membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari"-Hadis riwayat Al Baihaqi. Memanfaatkan waktu di awal pagi merupakan amalan orang-orang yang berjaya di dunia, lihatlah orang-orang yang kaya terbitan majalah Forbes, mereka semua tidak mulakan hari pada petang malah seawal sebelum subuh telah dimanfaatkan bermacam tugasan.

Rezeki Menjalin Silaturrahim

“Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim"-HR Bukhari dan Muslim.Ini juga merupakan jaminan rezeki dari Allah SWT bagi mereka yang menjalinkan hubungan silaturrahim bersesuaian dengan makna sebenar iaitu ahli keluarga yang terdekat.

Jadikanlah amalan baik yang dituntut dalam Islam sebagai amalan seharian selain mendapat redha dari yang Maha Esa, kita juga akan memperolehi rezeki yang telah dijanjikan.

Jika tak keberatan, anda boleh bookmark website Nakbebel untuk membaca artikel-artikel menarik yang akan kami kongsikan.