Masih Merasa Lapar Walaupun Sesudah Makan. Apakah puncanya?


Sudah makan tapi masih lagi merasa lapar. Mungkin ada dikalangan rakan anda ataupun anda sendiri yang mengalami situasi ini. Baru sahaja lepas mengambil makanan yang berat, tapi masih terasa lapar lagi.

Bagaimana ia boleh berlaku?.

Di sini kami ingin kongsikan kepada anda tentang punca-punca yang membuatkan anda masih merasa lapar walaupun sesudah makan.

Kurang air dalam badan
Kadangkala, apabila anda merasa lapar, anda mungkin sebenarnya mengalami dehidrasi dan memerlukan air. Anda keliru bahawa sebenarnya anda bukan lapar, tetapi dahaga. Jadi, cuba minum air terlebih dahulu. Tapi jika anda masih berasa lapar, ini bermakna ketika itu anda benar-benar memerlukan makanan. Disebabkan air yang anda minum sebelum makan, kuantiti makanan yang diambil dapat dikurangkan.

Makan terlalu cepat
Badan anda tidak dapat mengesan anda sudah kenyang jika makan terlalu laju. Elakkan makan yang gelojoh apabila dalam keadaan lapar. Ambil masa secukupnya untuk mengunyah dan menikmati hidangan anda agar tidak didorong nafsu makan yang berlebihan. Nanti sengkak lah pula.

Pengaruh iklan makanan
Apabila anda melihat suatu iklan atau video berkenaan makanan, bahagian otak yang merangsang rasa lapar akan menjadi aktif. Daripada tidak lapar terus menjadi lapar. Rasa craving bak kata orang. Hal ini yang biasa anda lakukan tanpa sedar. Jadi cuba kawal diri dari melihat iklan atau berada dekat dengan makanan jika ingin mengurangkan habit makan anda.

Tekanan masalah dan stres
Semasa stres, anda tidak rasa ingin makan disebabkan hormon adrenalin. Namun jika tekanan dan kadar stres anda berkekalan, hormon kortisol akan dilepaskan dan akan meningkatkan selera makan. Selepas kenyang, kadar kortisol akan turun semula. Pengambilan jumlah kalori yang tidak seimbang menyebabkan otak anda merangsang rasa lapar yang kerap.

Kadar gula tinggi dalam darah
Makanan manis dan berkanji seperti donut, air berkarbonat, dan pastri melonjakkan kadar gula yang tinggi dalam darah. Keadaan ini meningkatkan kadar pelepasan insulin yang membantu sel menggunakan gula tersebut untuk menghasilkan tenaga atau simpanan. Namun, lonjakan tersebut boleh membuatkan badan anda menghasilkan insulin lebih dari sepatutnya sehingga kadar gula menjadi terlalu rendah dan membuatkan anda berasa lapar semula.

Jadi, makanan manis hanya mampu menghilangkan rasa lapar untuk sementara waktu.

Waktu tidur tidak mencukupi
Kurang tidur mengganggu kestabilan hormon yang mengawal selera makan (leptin dan ghrelin) dan cenderung meningkatkan keinginan untuk makan. Biasa kan kalau berjaga lewat malam sampai pukul dua tiga pagi dan perut mula berasa lapar, lepas tu mula la pergi ke dapur buka tudung saji atau masak maggi dan telur.

Penyakit kencing manis
Salah satu simptom kencing manis ialah banyak makan atau polyphagia. Masalah yang dihadapi oleh penghidap diabetes bukan tidak cukup makanan tetapi kegagalan badan untuk menukarkan gula dalam darah kepada tenaga kerana gangguan pada fungsi insulin. Oleh itu, badan akan terus menghantar isyarat lapar untuk membekalkan makanan bagi menghasilkan tenaga.

Hamil
Wanita hamil mempunyai selera yang mungkin berbeza berbanding wanita lain. Mereka boleh mengidam macam-macam jenis makanan sewaktu mengandung. Jika anda merasakan anda hamil, dapatkan kit ujian kehamilan air kencing di farmasi. Jika positif, dapatkan pengesahan oleh doktor di pusat kesihatan.

Kelenjar tiroid terlebih aktif
Kelenjar tiroid yang terletak di bahagian depan leher anda merembeskan hormon tiroid yang berfungsi mengawal kadar metabolisme badan. Jika terlalu banyak hormon tiroid dirembeskan, kadar metabolisme akan meningkat dan anda akan lebih kerap lapar. Lebih mengejutkan, berat badan tetap berkurang walaupun banyak makan. Keadaan ini disebut sebagai hipertiroid dan rawatan adalah diperlukan untuk mengelakkan komplikasi.

Pengambilan ubat-ubatan
Sesetengah ubat meningkatkan selera makan termasuk ubat untuk rawatan depresi, gangguan mood, antihistamin, antipsikotik, dan kortikosteroid. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Oleh itu, jangan mengamalkan tabiat pengambilan makanan yang berlebihan agar tidak memberi kesan yang buruk pada diri anda di masa akan datang. Dapatkan panduan dan nasihat dari doktor atau pakar tentang cara pemakanan yang seimbang supaya anda dapat jalani kehidupan dengan lebih baik.