Mengetahui Pasangan Curang, Ini Cara Boleh Dilakukan Jika Mengetahui Kecurangan Pasangan.


Perkahwinan kadangkala diuji dengan pelbagai masalah, antaranya isu kecurangan. Tanpa  sebab yang kukuh, pasangan berlaku curang dan menyimpan wanita atau lelaki lain. Pastinya terluka apabila diri dikhianati oleh insan yang paling disayangi.

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan sebaik sahaja anda mengetahui kecurangan pasangan.

1. Terima dan kawal emosi

Setiap orang pasti susah menerima kenyataan bahawa pasangan mereka telah mengkhianati cinta yang dibina bersama. Tidak dinafikan ada wanita yang mengambil masa yang lama untuk memaafkan pasangan.

Kesakitan yang berbekas dalam hati amat sukar dilupakan. Namun begitu, anda harus bijak mengawal emosi dan fikirkan baik atau buruk sesuatu perkara yang anda bakal lakukan.

2. Jangan menyimpan dendam

Jangan menyimpan dendam terhadap pasangan kerana kadangkala kecurangan memberi petanda sama ada hubungan patut berakhir atau perlu diperbaiki.

Dalam hal ini, berbaliklah kepada pegangan agama, jauhi perkara kufur semata-mata mahu pasangan terus berada di sisi anda. Hal ini hanya akan menimbulkan kebencian pasangan jika diketahuinya.

3. Berpisah sekejap

Mungkin dengan cara ini anda dapat mententeramkan jiwa dan membuat keputusan secara rasional. Jika anda mempunyai anak, fikirkan masa depan mereka. Jangan biarkan mereka membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.

Sekiranya pasangan telah menyesali apa yang dilakukan, cuba untuk maafkan demi kepentingan anak-anak. Nilai diri masing-masing dan bina hidup yang lebih bahagia.

4. Berhenti menyalahkan diri sendiri

Apabila suami berlaku curang, isteri akan menyalahkam diri sendiri dengan merasakan dirinya tidak pandai menjaga suami dan sebagainya.

Sebaiknya berhenti menyalahkan diri sendiri kerana hal ini boleh mematahkan semangat anda untuk terus hidup.

5. Tidak melibatkan anak-anak

Anda tidak sepatutnya melibatkan anak-anak dalam masalah ini, kecuali anda dan pasangan telah memutuskan untuk bercerai.

Selesaikan masalah yang dihadapi dengan berhemah supaya anak-anak tidak berasa terabai sehingga tidak mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya dari ibu bapa mereka.