Proses Pembelajaran Menjadi Semakin Mudah Dan Berkesan. Tips Pelajar Cemerlang


Biasa anda dengar keluhan seperti, "Payah la exam ni, susahnya nak ingat balik apa yang cikgu ajar topik lepas"?.  Apa yang membuatkan mereka sukar untuk mengingati setiap point penting dan juga formula dalam mata pelajaran?. Pelbagai cara dan tips telah diajar dan digunakan bagi mengingati setiap apa yang cikgu ajar, namun tidak berkesan pada sesetengah pelajar. Apakah cara terbaik bagi mengingati apa yang cikgu ajar?

Di sini kami ingin berkongsi kepada anda tips untuk mudah mengingati apa yang cikgu ajar.

Pedulikan gangguan persekitaran.
Biasa kita dengar bila cikgu mula mengajar, ada pelajar yang minta izin nak ke tandas lah, keluar untuk perjumpaan rumah sukan lah atau hal berkaitan kokurikulum. Apabila cikgu mula mengajar sahaja, hentikan semua perkara yang lain. Berhenti cari buku, berhenti asah pensel, berhenti mengikat tali kasut, berhenti berbual dengan kawan sebelah dan berhenti suruh orang diam. Beri tumpuan sepenuhnya kepada penerangan guru. Untuk cemerlang anda perlu fokus yang mendalam. 

Sediakan buku conteng
Semasa cikgu mengajar di depan, jika ada persoalan anda berkenaan topik yang sedang cikgu terangkan, tulis atau contengkan di atas buku conteng. Sediakan juga ruang untuk anda mencatit point yang anda sudah faham semasa cikgu mengajar. Ini bertujuan supaya anda alert dengan topik yang anda lemah dan mahir.

Teka, apa cikgu mahu ajar?
Sebelum cikgu mula mengajar satu topik, tanya dalam minda. Topik ini berkenaan apa?, Apa yang penting agaknya dalam topik ini?, Topik ini ada kaitan atau tidak dengan topik sebelum ini?. Lebih banyak persoalan dalam minta sebelum cikgu mula mengajar, lebih baik.

Bayangkan subjek dan topik yang cuba diterangkan.
Jika kita tidak bayangkan apa yang cikgu sedang ajar, kita akan terbayangkan perkara lain yang tidak berkaitan. Membayangkan perkara selain apa cikgu ajar inilah yang dinamakan mengelamun atau berkhayal dalam kelas. Bayangkan dapat melihat apa yang cikgu sedang terangkan dan apa yang cikgu sedang ceritakan agar anda tidak lari fokus.

Segera buat latihan
Soalan daripada latihan boleh menentukan sama ada kita faham atau tidak. Lebih banyak faham, lebih banyak yang kita akan ingat. Teknik menghafal semata-mata kurang membantu anda untuk mengingati ilmu yang cuba disampaikan. Apabila terjumpa soalan yang tidak dapat dijawab atau kita tidak faham, tuliskan soalan di atas kertas untuk ditanya kepada cikgu kita. Cara ini membuatkan anda tidak terlepas dari point yang tidak jelas.

Cuba dulu baru tanya
Ada sesetengah pelajar banyak bertanya kepada cikgu sebelum dia cuba menjawab soalan dengan bersungguh-sungguh. Ini menyebabkan mudah lupa. Ya mungkin mereka takut untuk salah menjawab. Tapi buat la dulu, fikir dulu dan jawab dulu dengan bersungguh-sungguh, kemudian baru bertanya. Disini anda akan dapat mengesan topik yang samar-samar dan kurang jelas.

Ulangkaji dalam tempoh 2 hari.
Kajian saintis mengatakan bahawa jika pelajar belajar 10 perkara hari ini, mereka akan lupa 9 perkara daripadanya selepas 2 hari. Cara mengatasinya ialah selepas belajar satu topik baru, sebelum 2 hari berakhir, baca semula atau ulangkaji semula. Kita akan lebih mudah ingat dan pasti tidak mudah lupa. 

Oleh itu, Tumpuan dan ulangkaji mata pelajaran amatlah penting untuk anda ingat dan faham setiap ilmu yang cikgu ajarkan. Usah tunggu musim peperiksaan baru anda nak ulangkaji semuanya serentak. Apa yang penting  adalah konsistensi anda untuk memberikan yang terbaik dalam pelajaran.