Sayang Anak Berpada-Pada Jangan Jadikan Mereka Raja. Punca Anak-Anak Bersikap Liar Dan Tak Dengar Cakap.

Rata-rata ibu bapa yang kita lihat sekarang banyak buat perubahan konsep parenting terhadap anak-anak. Ada di antara mereka yang tidak lagi menggunakan atau menjadikan rotan sebagai alat untuk menghukum apabila anak-anak melakukan kesalahan. Mungkin sahaja kerana mereka menganggap hukuman merotan terlalu berat atau kejam untuk digunapakai bagi mendidik anak-anak.


Terlalu Mengikut Kehendak Anak.

Apabila mak ayah terlalu ikutkan kehendak anak sehingga tidak dapat membezakan di antara keperluan dan kehendak. Mungkin sahaja kerana ibu bapa terlalu sayangkan anak menjadikan mereka mudah kesian dan selalu menuruti setiap permintaan dari anak walaupun permintaan tersebut mendorong anak-anak kearah yang buruk. Lama kelamaan hal ini akan menyebab si anak menjadi terlalu manja dan sukar dikawal.

Ibu Bapa Yang Overprotective.

Sifat protective perlu ada pada setiap ibu bapa. Tapi jangan sehingga kita bersikap overprotective kerana tidak mahu anak-anak berasa susah. Ada di antara mereka terlalu kawal sehingga anak-anak tidak boleh disentuh atau di ajar bila mereka melakukan kesalahan. Cara ini membuatkan anak berasa sentiasa betul dan tidak belajar dari kesilapan.

Mengalah Bila Anak-Anak mula Menangis.

Ramai di kalangan ibu bapa mengambil langkah mudah bila berhadapan dengan situasi ini. Mereka menganggap dengan memberi dan menuruti setiap kehendak anak-anak apabila menangis adalah cara yang mudah dan cepat untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mak ayah jadi gelisah dan gelabah bila si anak mula menangis, akhirnya mak ayah tunaikan segala kemahuan anak. Padahal tangisan anak itu adalah tangisan manipulatif. Dengan cara ini anak tahu tangisan tu berjaya membuatkan mak ayahnya tunduk dan patuh pada segala kemahuannya.

Membiarkan anak-anak dengan gadget.

Zaman serba canggih menjadikan ibu bapa mengaplikasikan cara mudah untuk ubah fokus dan perhatian anak-anak apabila mereka terlalu sibuk dengan hal kerja dan tugasan seharian. Dengan memberikan smartphone atau gadget membolehkan mereka tidak diganggu anak-anak. Kalau sekali sekala tak apa, yang bahayanya sampaikan berjam-jam smartphone tu berada di tangan si anak. Akhirnya perbuatan tersebut menjadikan si anak ketagih dan tidak dapat mengawal emosi bila berjauhan dengan smartphone.

Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar membentuk anak-anak dengan kaedah yang betul. Tidak semua yang mudah itu lebih baik untuk anak-anak. Seperti pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya".  Berilah perhatian dan didikan yang sebaiknya dalam waktu anak-anak mula mengenal dunia agar mereka lahir menjadi insan yang berguna dan berbudi bahasa.