Selalu Merasa Syak Wasangka Dan Cemburu Terhadap Pasangan? Jangan Ambil Mudah.



Wujud perasaan cemburu adalah lumrah kehidupan dan perhubungan, namun jika terlalu berlebihan ia boleh menjadi salah satu punca utama yang menyebabkan keretakan sesebuah perhubungan. Adakah anda cemburu dengan pasangan anda?

Ketika seseorang itu cemburu, segala sesuatu menjadi sangat buruk di matanya. Perasaan cemburu yang tidak terkawal dipanggil ‘cemburu buta’ bakal mengundang rasa sakit hati dan boleh merosakkan akal dan kehidupan.

Kebimbangan yang berlebihan terhadap pasangan turut mengakibatkan anda hilang kepercayaan dan terus diselubungi perasaan takut. Pelbagai prasangka yang belum tentu betul mula timbul. Memanglah bagi sebagaian orang, cemburu itu dipandang sebagai bukti tanda daripada perasaan cinta dan kasih sayang. Tetapi harus diingat, jangan salah cemburu kerana ia boleh menghancurkan sebuah perhubungan.

Di sini kami ingin kongsikan beberapa cara atau tips tentang bagaimana mahu mengatasi rasa cemburu anda pada pasangan atau seseorang.

Me-time dan muhasabah diri
Rasa cemburu selalunya datang beriringan dengan rasa curiga dan syak wasangka. Ketika perasaan itu hadir, jangan terburu-buru terus melemparkan fitnah dan menyerang pasangan anda dengan sejuta pertanyaan. Luangkan masa untuk anda berfikir secara rasional dan bijak dalam mengatasi sifat cemburu anda. Nilailah setiap kebaikan atau keburukannya pada hubungan anda. Ingati apa kesannya pada anda dan si dia jika hal ini seringkali berlaku.

Jika anda mula menilai sedalam-dalamnya terhadap hal atau isu yang cuba dibangkitkan, anda akan dapat menilai dan berfikir secara logik tentang kesahihan perkara tersebut. Tak elok bersikap sebegini, jadi terimalah rasa cemburu anda itu dengan sebaiknya, hadapi secara positif dan jangan bersyak wasangka sebelum mendapatkan kepastian.

Cari punca dan sebab
Anda harus mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan anda merasa terlalu cemburu terhadap pasangan. Adakah ia disebabkan oleh peristiwa hitam yang pernah berlaku pada anda sebelum ini? Atau anda kurang percaya dan yakin pada pasangan anda? Atau anda kurang yakin pada diri anda sendiri?. Ketiga-tiga persoalan ini harus anda rungkai secara bernas. Sikap orang berbeza-beza. Jangan menghukum dan menuduh pasangan anda kerana pengalaman atau peristiwa yang anda pernah alami bersama orang lain sebelum ini.

Carilah sebabnya agar anda tahu di manakah puncanya perasaan cemburu buta itu terbit. Selain itu, cubalah untuk berfikiran terbuka terhadap apa yang anda rasakan. Tetapi pastikan anda melakukannya dengan cara positif. Selalu berfikiran optimis dan positif bukan hanya boleh mengatasi rasa cemburu. Bahkan juga membuatkan hubungan cinta anda menjadi lebih mesra.

Tingkatkan keyakinan diri
Kurang yakin terhadap diri sendiri adalah salah satu punca kepada sikap cemburu buta. Merasa sangsi terhadap pasangan kerana merasakan diri sendiri tidak hebat, banyak melakukan kesilapan dan banyak kekurangan boleh meretakkan sesuatu hubungan.

Jadi, anda harus yakinkan diri bahawa anda adalah seorang yang mempunyai kualiti serta kelebihan di bandingkan orang lain. Sebelum anda berasa cemburu pada lelaki atau wanita lain, cuba berdiri di hadapan cermin dan yakinlah bahawa anda adalah orang yang paling layak untuk dicintai oleh pasangan, sehingga dia tidak akan berpaling tadah daripada anda. Percayalah juga bahawa anda adalah orang yang benar-benar dicintai oleh pasangan anda. Ayat cinta tidak perlu di ungkap setiap hari untuk membuktikan perasaan cinta terhadap pasangan kerana anda boleh rasainya sendiri dengan tindakan

Hormati pasangan anda
Si dia juga sama seperti insan lain, sama seperti anda, punya hak dan berhak untuk menilai kebaikan atau kecantikan orang lain yang berada di sekelilingnya. Penting bagi anda mempercayai pasangan, walaupun ia memang tidak semudah yang diucapkan. Tetapi berfikirlah positif sambil berusaha. Anda boleh membuktikan pada pasangan bahawa anda boleh memegang teguh komitmen bersama.

Mungkin dengan menunjukkan keseriusan anda dalam menjalinkan hubungan tersebut juga akan membuatkan si dia turut berusaha mengimbangi dan menghargai anda sebagai seorang yang penting dalam kehidupannya.

Sentiasa berfikiran positif
Menghilangkan rasa cemburu salah satu caranya adalah dengan berfikiran positif . Cuba hilangkan prasangka buruk terhadap pasangan. Tidak perlu memeriksa terlalu dalam atau menyelidik telefon bimbit atau aktiviti hariannya. Yakinkan pada diri sendiri, bahawa hanya anda sahaja yang berada dalam jiwanya. Ketika anda berfikiran positif, fikiran pun akan menjadi lebih terbuka dan anda akan melihat kebaikan dan rasa kasih sayang pasangan dengan teguh, tanpa diganggu oleh prasangka yang buruk.

Jangan biarkan perasaan cemburu merosakkan hubungan anda dengan pasangan. Jika ada orang lain mengganggu pasangan, anggap sahaja itu sebagai sesuatu perkara yang normal. Ini adalah kerana mereka hanya boleh mengganggu si dia, sedangkan anda adalah orang yang penting dan dia cintai.

Oleh itu, jika semua usaha telah anda lakukan untuk mengatasi perasaan cemburu tersebut, namun tetap gagal. Mungkin sudah waktunya anda mencari alternatif baru atau bantuan profesional untuk mengatasi perasaan dan fikiran anda yang tidak rasional ini. Jangan merasa ragu atau malu untuk meminta bantuan dan dengar pendapat orang lain demi kesejahteraan hubungan cinta yang telah anda bina itu. Tiada orang yang sempurna dan tidak melakukan kesilapan.