Siapa Kata Bekerja Dari Rumah Itu Mudah?. Tugas Isteri Sebagai Suri Rumah.


“Ala kerja dari rumah ni bukannya susah mana pun. Tak payah nak bersiap, hadap trafik jem, urus meeting dan sebagainya, kerja hanya di rumah tanpa ada arahan dari bos. Sambil jaga anak pun tak ada masalah.” Inilah antara pendapat suami ataupun sesiapa pun yang belum pernah memerhatikan aktiviti ibu yang menjalankan kerja sebagai suri rumah.

Tidak dinafikan, pelbagai keistimewaan dan kelebihan mereka yang tidak perlu ke pejabat dan bekerja seperti rutin biasa. Atas sebab itulah ramai wanita yang berpendidikan tinggi sanggup melepaskan kerjaya dan pangkat di syarikat lama semata-mata untuk menguruskan anak-anak. Namun, ia tetap mempunyai cabaran dan liku-liku yang tersendiri.

Ramai suami yang tidak memahami tugas wanita sebagai suri rumah. Ada di antara mereka yang membuat kerja part-time daripada pejabat lama, mengambil upah menjahit, katering, menjadi blogger, membuat akaun untuk syarikat, merekabentuk hiasan dalaman, atau menjalankan bisnes sendiri.

Kerja dari rumah memang nampak mudah, tapi mungkin ada perkara yang suami tidak tahu atau terlepas pandang.

Jadual padat

Pernahkah anda bayangkan bagaimana wanita membahagikan diri mereka untuk melakukan kerja rumah, memasak, ambil dan hantar anak balik sekolah, menguruskan diri, mengemas rumah, mencuci dan jemur pakaian dan membuat kerja part time dari rumah?

Ia bukanlah semudah yang anda sangkakan. Dalam keadaan yang sibuk dengan melayan karenah anak-anak yang aktif, kadangkala mereka terpaksa mengorbankan masa untuk diri sendiri demi memastikan urusan rumah berjalan dengan lancar. Masa dan waktu mereka menguruskan hal rumah tidak sama seperti anda yang ada waktu kerja yang tetap. Office hour 8am - 5pm, dengan termasuk masa tambahan untuk makan tengahari dan minum petang. Anda sungguh beruntung kerana selepas tamat waktu kerja, anda tidak perlu lagi runsing kepala memikirkan hal kerja di pejabat. Suri rumah pula ibaratkan bekerja 24 jam sehari.

Terpaksa tertangguh urusan

Walaupun kerja dari rumah kedengaran lebih fleksibel, tetapi mereka perlu sangat berdisiplin agar dapat melakukan semua tugasan dan menyeimbangkan dengan urusan anak-anak dan mengurus rumah. Maka, jika kadangkala anda bercuti atau anak kurang sihat, anak meragam, semua rutin ini akan mengganggu kerja mereka.

Maka tidak hairanlah kadangkala anda balik rumah dan melihat keadaan rumah masih bersepah, tak sempat masak makan malam, dan sebagainya. Mereka sendiri hanya sempat minum secawan kopi dari pagi tadi dan belum mendapatkan waktu rehat.

Me-time

Kalau anda ingat mereka boleh membuat kerja sambil berbaring atau di mana-mana, anda silap. Malah, ada juga yang sengaja mengenakan pakaian kerja supaya datang ‘mood’ kerja. Walaupun di rumah sendiri, mereka masih perlu mempunyai sebuah ‘ruang privasi’ untuk mereka menjadi lebih efisyen.

Jadi, eloklah kalau anda tak mengalihkan barang mereka atau meletakkan barang-barang lain di tempat itu. Hal ini akan membantutkan urusan kerja mereka. Kalau tak kena gaya, boleh mengamuk jadinya

Kerja suri rumah juga stress

Ibu yang kerja dari rumah ini biasanya tidak berkongsi atau mengadu pada anda tentang kepenatan dan kelelahan mereka menjayakan cita-cita sendiri. Mungkin mereka takut anda akan menyuruh mereka berhenti kerja atau memperlekehkan usaha mereka.

Mereka tiada hari cuti

Ada yang memilih untuk bekerja di hari cuti kerana pada hari minggu mereka kurang masa untuk menumpukan perhatian. Ada juga yang terpaksa bekerja di hari cuti untuk ‘menampung’ semula pekerjaan yang ditangguhkan semasa hari minggu. Walau apa pun, tugas-tugas menguruskan anak dan rumah biasanya tidak berpenghujung. Hari cuti atau tidak, sama saja bagi mereka. Malah, mungkin lebih lagi kerja yang perlu dilakukan pada cuti kerana lebih ramai orang yang memerlukan perhatiannya di rumah.

Keazaman wanita untuk ‘membuktikan’ sesuatu pada diri sendiri ini boleh menjadikan mereka stres dan amat letih. Tetapi, ia dapat memberi kepuasan dan meningkatkan motivasi diri. Jadi, tidak hairanlah mereka akan mula tidur awal dan mungkin tidak lagi dapat melayan anda seperti dahulu lagi.

Beri sokongan moral

Jika kerja-kerja ini tidak dapat disiapkan pada waktu siang, ada yang terpaksa melakukannya setelah anak-anak tidur. Pada awalnya, kebanyakan wanita masih mencari rentak dan kesesuaian dalam mengatur jadual mereka. Jangan sesekali anda memandang remeh pada usaha mereka walaupun ada yang sekadar berniaga kecil-kecilan. Walaupun tidak banyak pendapatan yang dapat dijana, namun ia cukup bererti bagi mereka.

Bisnes kecil-kecilan juga boleh berjaya

Wanita yang bekerja dari rumah adalah wanita yang cuba mengejar cita-cita mereka walaupun terpaksa mengorbankan sebahagiannya untuk melihat anak membesar. Namun, di sebalik segala kepayahan, tersemat seribu satu harapan untuk meneruskan impian dan merasai hasil titik peluh sendiri.

Oleh itu, anda sebagai suami dan ketua keluarga seharusnya memberi sokongan dan membantu isteri anda dan sama-sama melakukan kerja rumah agar mereka tidak terbeban untuk mengurusnya sendirian, tidak mustahil dari usaha mereka dalam melakukan bisnes kecil-kecilan bagi membantu ekonomi keluarga akan membuahkan hasil.

Jika tak keberatan, anda boleh bookmark website Nakbebel untuk membaca artikel-artikel menarik yang akan kami kongsikan.