Sukar Untuk Ingat?. Amalkan Cara Mudah Dan Cepat Untuk Menghafal.


"Belum lagi selesai satu subjek, ada lagi subjek yang lain, mampu ke nak ingat semua sekali gus dalam satu malam?”. Ini la kebiasaan rungutan dan persoalan yang biasa kita ungkapkan apabila menghadapi musim peperiksaan.

Rasa tertekan apabila tak sempat hafal dan bersedia untuk peperiksaan. Jangan risau sangat. Sebabnya, nanti satu apa pun yang korang ulang kaji tu tak boleh masuk dan ingat. Ramai yang kadang tu tak percaya, betul ke study ‘last minute’ ni boleh berjaya?

Jadi, ini antara penyelesaian dan cara nak jadikan study last minute tu berjaya buat korang.

Bahagikan waktu
Dah baca buku satu jam, lepas tu kena ambil masa rehat 15 minit atau setengah jam. Sebabnya, otak kita tak mampu untuk fokus dalam tempoh yang lama. Tapi, selepas masa rehat yang korang peruntukkan tu, korang kena sambung study semula. Cara ni supaya fikiran korang tak semak untuk simpan semuanya serentak.

Buat Study group
Ada yang pilih untuk belajar berseorang, dan ada pula yang lebih suka belajar secara berkumpulan. Tapi, percayalah kalau korang dah tahap kritikal macam ni, study group adalah salah satu cara yang lebih berkesan untuk korang jika pandai memanfaatkan masa. Study group dapat membantu korang kumpulkan maklumat yang mungkin tertinggal. Pada masa sama, rakan korang boleh betulkan dan fahamkan apa yang silap dan kurang faham. Tapi, study group ni kadang-kadang boleh jadi merapu dan meleret-leret jika tiada disiplin. Jadi, fokus dan elakkan daripada berbual perkara tak berfaedah.

Baca dan terangkan
Bila dah baca, jangan simpan sorang-sorang. Korang kena kongsikan dengan kawan-kawan. Korang kena cerita semula apa yang dah baca tadi sehingga rakan korang faham tentang apa yang korang cuba sampaikan. Cara ini akan buat korang lebih lebih konfiden dan ingat setiap point tersebut. Kalau korang study sorang-sorang, nak cerita dengan pet kesayangan pun boleh. Tak kisahlah kalau korang nak cerita dengan mak, kakak atau adik beradik yang lain, asalkan korang buat pengulangan.

Mana yang suka up status kat Facebook, Instagram atau Twitter tu, korang boleh post di status apa yang korang baca tadi. Sekadar untuk mengulang. Nanti exam, korang pasti terbayang-bayang post status yang korang buat tu.

Buat ulang kaji
Nama pun last minute kan. Jadi, lebih baik korang banyakkan buat latihan daripada membaca. Lebih baik korang menghadap buku latihan daripada menghadap buku teks yang tebal tu. Buku latihan akan memudahkan kita mengingat isi-isi penting, membiasakan dengan soalan-soalan latihan dan jawapan yang betul, dan akan lebih ingat tajuk-tajuk penting yang dah disaring daripada buku teks. Atleast korang dapat tahu tajuk mana yang korang lemah dan perlu diberi perhatian.

Dapatkan tip dan topik penting
Sebelum minggu peperiksaan, mesti ada antara cikgu yang dah bagi klu tentang tajuk atau bab mana yang korang kena fokus. Jadi, pilihlah tajuk yang penting untuk dibaca. Kalau baca semua, memang tak sempat lah. Mahu makan masa berminggu-minggu kalau nak khatamkan semua tajuk dalam buku tu. Korang juga boleh kerap jumpa cikgu untuk minta pencerahan dan pendapat. Kadang-kadang cikgu tak bagitau semua di dalam kelas. Kalau korang jumpa cikgu, mungkin cikgu akan tolong korang pilih bab mana yang perlu dibaca.

Elakkan hal tak berkaitan
Cuba renggangkan hubungan sekejap. Bukanlah nak suruh putus kawan. Tapi dapatkan ruang supaya korang tidak lalai dan membazir masa dengan hal tak berkaitan, termasuk penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WeChat, komputer, tv, games dan seangkatan dengannya yang boleh mengganggu gugat ketenteraman korang masa ulang kaji. Kalau korang rasa susah sangat nak kawal, boleh lah layan sebentar dalam masa rehat 15 minit tu. Tapi, lepas tu kena disiplin, tak boleh tengok dah.

Menghafal
Korang boleh menghafal tajuk-tajuk yang perlukan hafalan. Ada banyak kaedah sebenarnya untuk menghafal. Ingat tak cara kita menghafal warna-warna pelangi? Kita boleh ambil huruf pertama setiap warna atau jadikan satu cerita supaya mudah ingat. Korang boleh cuba kaedah Mnemonic devices (gunakan singkatan huruf atau akronim), atau kaedah Pegs (menukar perkataan yang perlu diingati dalam bentuk irama dan lagu) dan boleh juga gunakan kaedah Chunking (kaitkan atau asosiasikan satu perkataan dengan perkataan yang lain melalui aksi atau gambaran).

Korang juga boleh gunakan sticky notes yang menggunakan warna berbeza dan tuliskan point penting sahaja. Cara ini sangat sesuai untuk korang yang mudah menerima pelajaran ketika melihat gambar.

Selepas menghafal, jangan lupa untuk catat kembali apa yang dah korang hafal. Ini cara menghafal dengan cepat agar informasi yang dah melekat kuat dalam ingatan korang itu akan lebih terpateri di minda.

Pemakanan yang sihat
Pemakanan yang berkhasiat amat penting untuk memastikan otak dan tubuh segar sepanjang minggu peperiksaan. Elakkan makan makanan yang berlemak dan berminyak. Lebihkan buah-buahan dan sayu-sayuran.

Waktu tidur yang berkualiti
Walaupun korang bersungguh-sungguh nak ikut tip yang disarankan ini, korang jangan lupa masukkan dalam jadual harian, masa untuk berehat dan juga masa untuk tidur.

Bukan apa, jika asyik sangat belajar tanpa rehat dan tidur, sia-sia saja korang praktikkan tip ni. Sebabnya, bila dah letih keesokan harinya, korang tak akan dapat fokus ketika menjalani peperiksaan, malah punya potensi besar untuk buat silap ketika menjawab soalan disebabkan otak blank atau tidak dapat berfungsi dengan baik.

Oleh itu, sebaik-baiknya anda amalkan tips ini sebagai disiplin hidup, jangan tunggu last minute je kan baru nak buat. Nanti bebanan nak menjawab peperiksaan tu jadi bertambah-tambah dan buat korang tak enjoy dengan life study.