Wanita Bukanlah Golongan Kelas Kedua Seperti Pandangan Yang Sentiasa Bertapak Di Fikiran Manusia.


"Wanita tidak dijadikan dari urat rambut lelaki untuk dijulang dan dipuji, Tidak pula dijadikan dari tapak kaki untuk dihina dan dikeji,
Tetapi wanita dijadikan dari rusuk kiri yang berada dekat dengan hati untuk didampingi, dilindungi dan juga disayangi."

Begitulah kata-kata indah yang sesuai digambarkan kepada wanita. Wanita bukanlah golongan kelas kedua seperti pandangan yang sentiasa bertapak di fikiran manusia. Mereka hanya dipandang sebagai satu objek untuk melariskan barang jualan dan menjadi pemuas nafsu lelaki.

Justeru itu, kedatangan Islam telah menyelamatkan kedudukan wanita dengan meletakkan taraf mereka setaraf dengan lelaki dari segi peranannya dalam membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Pepatah Melayu ada menyatakan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Selain itu Allah S.W.T juga berfirman yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh,dari lelaki atau perempuan,sedang ia beriman,maka mereka itu akan masuk syurga,dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun."

(Surah al-Nisa’ : 124)

Berdasarkan ayat ini, Allah S.W.T telah memartabatkan amalan wanita setaraf dengan amalan lelaki. Jadi tidak layak bagi kita untuk untuk meletakkan garis berbezaan taraf antara lelaki dan wanita seperti yang telah dilakukan oleh kaum jahiliah suatu ketika dahulu dengan menganggap bahawa wanita adalah satu bebanan dan malapetaka bagi mereka.

Mereka juga tanpa ada sifat belas kasihan sanggup membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan. Jadi dengan kedatangan Islam telah mengubah segala tuduhan dan pandangan terhadap kaum wanita.

Seperti yang telah dikatakan oleh Saiyidina Umar al-Khattab r.a. bahawa:

“Pada zaman jahiliah kami tidak menghargai wanita walau sedikitpun. Tetapi tatkala Islam datang dan Allah menyebut-nyebut tentang mereka, barulah kami sedar bahawa mereka mempunyai hak ke atas kami.”


Kemuliaan Wanita Dalam Al-Quran

Al-Quran juga secara khusus telah memberikan penekanan yang luas berkaitan urusan wanita. Allah S.W.T telah membuktikan bahawa kaum wanita bukanlah kaum untuk ditindas, dengan menamakan satu surah dalam Al-Quran dengan nama al-Nisa’ yang bermaksud surah wanita.

Kandungan surah ini adalah memberi penekanan tentang kepentingan wanita serta pengurusan yang berkaitan dengan wanita seperti nikah kahwin dan penceraian. Selain itu, dinyatakan juga persoalan hak persamaan antara lelaki dan wanita.

Allah S.W.T telah berfirman :

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).(kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan;(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya.Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

(Surah an-Nisa’ : 32)

Dengan yang demikian jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T. memuliakan wanita dengan mendatangkan satu “modul” khas sebagai panduan untuk manusia berfikir tentang kepentingan peranan wanita dalam kehidupan mereka.