Zaman Sekarang Menjadi Kebiasaan Membeli Barang Secara Online, Ini Cara Membeli Secara Online Dengan Selamat.


Membeli barangan atas talian sudah menjadi kebiasaan pada masyarakat moden pada hari ini. Ia memudahkan pengguna membeli sesuatu perkara tanpa perlu lagi menuju ke kedai secara fizikal.

Bermakna, anda tidak perlu lagi memandu, meletakkan kenderaan, dan membayar di kaunter yang mana agak sedikit melecehkan. Kesemua barangan dibeli juga akan dihantar terus ke lokasi pilihan anda melalui tempoh masa yang ditetapkan. Barangan atas talian juga sering ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding di kedai fizikal.

Namun, kesemua kemudahan yang hadir ini masih terdapat beberapa isu terutama dari segi keselamatan. Kita pastinya pernah mendengar beberapa kes penipuan telah berlaku yang menyebabkan barang dan wang tidak diberi kepada pembeli.

Sebenarnya ia boleh dicegah sekiranya anda mahir dengan selok-belok pembelian barangan atas talian ini.

1. Pilih platform yang mempunyai keselamatan yang tinggi

Pada hari ini, kita telah disajikan dengan pelbagai platform jualan atas talian yang menempatkan sejumlah kedai maya yang menarik. Namun perlaksanaan sistem pada sesebuah platform sebenarnya banyak memainkan peranan dalam menjadikan urusan jual beli lebih selamat.

Sistem yang berkuasa dapat memberi pengurusan wang yang lebih baik, selain mengelakkan isu penipuan berlaku.

Pada waktu sekarang, ada beberapa buah platform telah menyediakan sistem dompet tersendiri untuk menguruskan transaksi antara pembeli dan penjual. Perkara ini membuatkan sesebuah platform ini dikenali sebagai orang tengah kerana mereka ‘memegang’ duit pengguna sebelum ia diberikan kepada penjual.

Apabila seseorang pengguna menerima barangan yang dibeli, barulah duit tersebut dilepaskan kepada pihak yang menjual barangan tersebut.

Sebagai contoh di Malaysia, Lazada dan Shopee sedia menyediakan program jaminan mereka tersendiri untuk mengelakkan kes penipuan berlaku.

2. Bandingkan harga

Perkara penting dalam membeli sesuatu barangan pastinya dengan membuat perbandingan harga. Tidak kira membeli di kedai fizikal atau gedung atas talian, perkara ini dapat memberi penjimatan yang lebih dengan menikmati berbezaan harga mencecah sekitar puluhan atau ratus ringgit.

Sekiranya anda membeli barangan melebihi satu unit, ia pastinya dapat memberi lebih penjimatan walaupun mempunyai berbezaan sekitar RM1. Ketika membandingkan harga, anda boleh menilai dari segi kos penghantaran dan tawaran yang diberikan melalui barangan tersebut. Harga barang yang murah tidak semestinya memberi nilai yang baik, kerana ia mungkin mengandungi kos penghantaran yang tinggi.

Atau harga yang sedikit tinggi sebenarnya mempunyai nilai yang lebih baik, kerana menawarkan sejumlah hadiah percuma yang melebihi harga kos barangan tersebut.


3. Lihat penilaian kedai

Ketika anda menjumpai barangan yang ingin dibeli, pertama sekali anda perlu buat ialah dengan meneliti penilaian kedai tersebut. Apa yang anda perlu buat, perhatikan angka penilaian (dalam skala 1-5) dan kadar penjual tersebut membuat balasan mesej pengguna.

Anda juga boleh membaca komen yang dikeluarkan oleh pengguna lain untuk menilai masa penghantaran dan kualiti bungkusan barang.

4. Lihat penilaian terendah pada barangan ingin dibeli

Kadangkala, kedai yang mempunyai penilaian yang tinggi tidak semestinya menjual barangan yang tulen. Penilaian yang baik diberikan, mungkin disebabkan masa penghantaran yang cepat dan tahap bungkusan yang berkualiti daripada penjual.

Layanan dan cara penghantaran mesej yang baik juga dapat meningkatkan angka penilaian seseorang penjual ini. Sekiranya anda membeli barangan berjenama, pastikan anda melihat penilaian terendah terlebih dahulu untuk memastikan ketulenan barangan tersebut.

Pengguna yang berkemahiran akan memberi komen dengan ‘1 bintang’ sekiranya barangan tersebut didapati palsu. Perkara ini juga dapat dapat membolehkan anda melihat kualiti penghantaran dan layanan penjual, sekiranya mereka kurang memberi perkhidmatan yang baik.

5. Lihat polisi kedai seperti jaminan atau polisi ‘return/refund‘

Selepas menjumpai barangan yang ingin dibeli, pastikan anda membaca sejumlah polisi yang ditentukan oleh penjual atau kedai tersebut. Pastikan anda mengetahui tempoh dan jenis jaminan yang ditawarkan, terutamanya melibatkan barangan jenis elektronik.

Anda juga boleh bertanya kepada penjual tersebut untuk polisi pemulangan barang atau wang semula, sekiranya barangan tersebut tidak memenuhi spesifikasi barangan yang anda ingin beli.